KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas lebih 24 jam menerima rawatan akibat tersedak susu semasa berada bawah jagaan pegasuhnya di sebuah rumah di Putrajaya pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Putrajaya mengenai kejadian tersebut pada hari yang sama.
“Semasa pengadu bersama pasukan ambulans tiba, ibu bayi itu sedang membuat bantuan kecemasan pernafasan (CPR) kepada anaknya.
“Bayi itu yang tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut dan kemudian ditempatkan di zon merah dalam keadaan kritikal,” katanya hari ini.
Tambah Asmadi, berdasarkan keterangan daripada pengasuh, dia memberi susu kepada mangsa sebelum bayi itu tiba-tiba tersedak dan mengeluarkan air susu dari hidungnya.
“Pengasuh itu kemudian cuba memberi bantuan dengan menepuk dan menggosok belakang badan mangsa namun bayi itu tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ambulans serta ibu bayi berkenaan memaklumkan keadaan mangsa.
“Selepas dimasukkan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut, mangsa telah dimaklumkan meninggal dunia kira-kira pukul 3 petang semalam,” ujarnya.
Dalam pada itu, hasil siasatan mendapati pengasuh berkenaan tidak mempunyai lesen dan sijil sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyediakan perkhidmatan pengasuh.
Justeru siasatan juga mendapati pengasuh berkenaan menjaga empat bayi dan kanak-kanak yang berusia lingkungan empat bulan hingga tiga tahun.
“Semasa kejadian berlaku, hanya pengasuh itu sahaja orang dewasa yang berada di dalam rumah tersebut,” katanya lagi.
Proses bedah siasat terhadap mayat bayi berkenaan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya semalam.
Bagaimanapun, punca kematian mangsa masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan 1984. – MalaysiaGazette