JURUSALEM – Pembebasan tiga pemimpin tertinggi Palestin menjadi syarat penting Hamas dalam mana-mana perjanjian melepaskan tebusan dengan Israel.
Tiga pemimpin terbabit adalah Marwan Barghouti, Ahmed Saadat dan Abdullah Barghouti yang kini menjalani hukuman penjara antara 30 tahun dan seumur hidup.
Syarat penting itu dinyatakan dengan tegas Ketua Politik Hamas Ismail Haniyeh di Kaherah kepada perunding Mesir yang menjadi pengantara perjanjian tebusan baharu dengan Israel pada Rabu lalu.
Perkara tersebut dilaporkan oleh akhbar Yedioth Ahronoth yang kemudiannya dipetik oleh agensi Anadolu.
Barghouti, 64, ahli Jawatankuasa Pusat Fatah, paling disukai untuk menjadi Pengerusi Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Ramallah selepas Presiden Mahmoud Abbas.
Dia ditangkap oleh Israel pada 2002 dan dijatuhi hukuman lima hukuman penjara seumur hidup.
Barghouti “boleh mengubah wajah Pihak Berkuasa Palestin,” kata akhbar itu.
Saadat merupakan Setiausaha Agung Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) dan telah ditangkap pada 2008.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 30 tahun berhubung pembunuhan Menteri Pelancongan Israel Rehavam Ze’evi pada 2001.
Abdullah Barghouti pula merupakan pemimpin tertinggi Hamas dan telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup untuk beberapa serangan terhadap Israel.
Israel enggan memasukkan ketiga-tiga pemimpin itu dalam perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas pada 2011 yang menyaksikan pembebasan askar Israel Gilad Shalit sebagai balasan kepada lebih 1,000 tahanan Palestin.
Ketika ini Hamas masih menahan 130 orang yang ditangkap dalam serangan ke atas wilayah yang diduduki Israel pada 7 Oktober lalu.
Semasa jeda kemanusiaan selama seminggu di Gaza bulan lalu, Hamas membebaskan 81 warga Israel dan 24 warga asing sebagai pertukaran untuk 240 rakyat Palestin, termasuk 71 wanita dan 169 kanak-kanak.-Agensi