MISA dan Peltita Akademi menyasarkan kemasukan 300 pelajar bagi dua kursus iaitu Kelasi Kapal dan Kelasi Deck.

KUALA LUMPUR – Malaysia Industrial Skill Academy (MISA) mengumumkan kerjsama dengan Pusat Latihan Pelita Akademi (Pelita Akademi) bagi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang maritim di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi MISA, Siti Patimah Hussin berkata, kedua-dua pihak menyasarkan kemasukan seramai 300 pelajar bagi dua kursus iaitu Kelasi Kapal dan Kelasi Deck yang ditawarkan bermula Februari tahun menerusi empat pengambilan sepanjang tahun.

Menurutnya, ia berikutan maklum balas terhadap permintaan yang meningkat dari industri maritim untuk tenaga kerja yang mahir dan berkelayakan ketika ini bagi mengendalikan operasi di atas kapal.

Beliau berkata, dengan menyelaraskan program pelatihan dengan keperluan sebenar industri, MISA dan Pelita Akademi berharap dapat menghasilkan graduan yang dapat menyumbang secara positif kepada kemajuan sektor maritim.

“Kerjasama ini diharapkan dapat mencipta kesedaran di kalangan masyarakat mengenai peluang yang terdapat dalam bidang maritim dengan menyediakan program berkualiti tinggi.

“Kami turut komited untuk menarik lebih banyak individu yang berminat dalam pengajian secara praktikal di atas kapal kerana ia menjamin peluang pekerjaan dengan tawaran gaji yang berbaloi.

“Selain itu, kerjasama ini juga memberi peluang kepada pelatih untuk menyambung pengajian dengan menaik taraf sijil bagi mereka yang ingin meningkatkan kemahiran mereka dalam sektor maritim,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) baru-baru ini.

Beliau menandatangani MoU itu dengan Pengasas Pelita Akademi, Baharom Mohd. Taha.

Kursus ditawarkan Pelita Akademi diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia.

Siti Patimah menambah, kerjasama MISA dan Pelita Akademi itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk memartabatkan TVET dengan menyumbang kepada peningkatan kualiti dan relevansi program ditawarkan dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, kedua-dua pihak juga sedia memberi komitemen tinggi  untuk menyokong transformasi TVET dalam bidang maritim yang mampu menyediakan peluang pekerjaan baik untuk direbut golongan muda.

“Kerjsama ini ini menjadi langkah terdepan dalam merealisasikan potensi sektor maritim sebagai pemacu utama ekonomi negara.

“MISA dan Pelita Akademi bersama-sama berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam penyediaan pendidikan dan latihan yang responsif terhadap keperluan sektor industri yang sentiasa berkembang,” katanya.

Sementara itu, Baharom berkata, akademi adalah salah satu institusi vang tidak asing lagi dalam industri maritim terutamanya dalam menyediakan latihan dan pendidikan kepada mereka yang ingin mempelopori kerjaya sebagai pelaut.

Katanya, kepakaran Pelita Akademi dalan bidang ini dapat dibuktikan dengan kekukuhan platform yang sudah bertapak dalam industri selama lebih dua dekad sejak 1998.

“Sejak penubuhan akademi, terdapat sejumlah 50,000 orang pelatih di dalam dan luar negara telah berjaya dilahirkan dan diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia di bawah Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Standard Latihan, Pensijilan dan Pengawasan Pelaut.

“Pada 2021, Pelita Akademi juga menerima akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk Sijil Kemahiran Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia dan seterus diiktiraf oleh Yayasab Negeri Pahang untuk program TVET,” katanya. – MalaysiaGazette