KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan kes saman fitnah terhadap wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam telah diselesaikan secara baik.
“Selepas melalui proses mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah Alor Setar pada 14 Disember lepas, pihak-pihak dalam tindakan writ saman bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama kepada umum seperti berikut:
“Kedua-dua pihak mencapai penyelesaian dalam kes tuntutan saman berkaitan kenyataan di Twitter (sekarang dikenali sebagai X) @zulhelmizainal1 yang diciap pada 10 Oktober 2022.
“Terdahulu, defendan setelah menerima writ saman telah memadam dan menarik balik ciapan tersebut.
“Oleh itu, perkara ini dianggap telah diselesaikan dengan persetujuan pihak-pihak secara damai,” tulis kelab itu di Facebook KDA FC di sini.
Sebelum ini, wartawan sukan itu telah membongkar perkara yang boleh dianggap sensitif terutamanya buat kelab tersebut.
Dia telah memuatnaik satu salinan dokumen dengan kepala surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada KDA FC berkenaan Potongan Cukai Berjadual (PCB) 2021 hingga 2022 di laman Twitter peribadi miliknya pada 24 Ogos 2022.
Selain itu, beliau turut mengaitkan isu cukai tersebut hingga menyebabkan barisan kejurulatihan dan pemain import Kedah berdepan masalah untuk ke luar negara.
Zulhelmi kemudiannya diminta untuk membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan menyebabkan KDA FC melalui firma guaman dilantik, Farahazlinda & Co. telah mengeluarkan satu notis tuntutan kenyataan fitnah terhadapnya pada 12 Oktober 2022. – MalaysiaGazette