KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) nafi mengeluarkan notis tular berkaitan tindakan ke atas pemandu pengangkutan awam yang membawa warga
asing tanpa mempunyai dokumen yang sah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, notis palsu yang disebarkan melalui mesej di applikasi WhatsApp itu dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, JIM memohon supaya orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang maklumat yang belum tentu kesahihannya.
“JIM tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pemandu-pemandu kenderaan awam yang tidak mengetahui status warga asing yang menggunakan perkhidmatan mereka.
“JIM sedia maklum bahawa pemandu tidak mempunyai kuasa dan tidak perlu dibebankan dengan pembuktian status penumpang yang mereka bawa,” kata Ruslin dalam kenyataan di sini.
Walau bagaimanapun, jika didapati mereka dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya telah melanggar peruntukan Akta,
mereka boleh disabit dengan hukuman di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam hubungan ini, JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Ruslin turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette