Peranan seni budaya sangat penting untuk diaktifkan sebagai sebahagian dari elemen teras pendidikan.

Oleh: Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff

SETIAP insan sejak dari awal kelahiran sehinggalah ke penghujung hayatnya cintakan keindahan, keteraturan, kelunakan, keenakan, kehalusan, keunikan dan kekreatifan. Lihat sahaja bagaimana kehalusan belaian seorang ibu dan kelunakan suaranya mendodoi sang anak, memberi ketenangan kepadanya untuk melelapkan mata. Jika dilihat kepada definisi serta maksud tersirat di sebalik istilah seni, elemen keindahan, keteraturan, kelunakan, keenakan, kehalusan, keunikan dan kekreatifan inilah yang menjadi teras kepada sebuah karya, produk atau kerja yang dikaitkan dengannya. Jika dirujuk kepada Kamus Dewan misalnya, elemen-elemen inilah yang terangkum dalam erti kata seni, sehingga membentuk keupayaan untuk menghasilkan sesuatu yang baharu atau luar biasa dalam sesuatu bidang, bagi mencapai objektif dan matlamatnya.

Prof. Dr. Muhammad Marzuq dalam karyanya mengenai kesenian Islam menyatakan bahawa Rasulullah SAW mendidik para sahabat dengan tiga asas utama dalam membentuk jiwa mereka dengan kehalusan seni. Pertama; bahawa al-Quran telah menarik perhatian mereka untuk menghayati keindahan ciptaan pada makhluk. Kedua; bahawa al-Quran mendorong mereka untuk bertafakur tentang ketelitian, keteraturan, keserasian, kekemasan, kesempurnaan dan keajaiban ciptaanNya bagi membina kekuatan daya fikir, ketinggian cita rasa dan kecintaan kepada keindahan. Ketiga; bahawa Islam tidak mewajibkan kezuhudan, kerana ia akan membawa kepada pelemahan terhadap tubuh badan, seterusnya menyukarkan mereka untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Seorang yang terdidik dengan tiga asas ini, pastinya akan sangat menghargai keindahan, ketertiban dan ketelitian, juga akan terganggu dengan kejelikan, kecelaruan, kecuaian dan ketidaksempurnaan dalam semua urusan personal, apatah lagi jika ia melibatkan kepentingan awam. Bertitik tolak dari tiga asas inilah, Islam membentuk persepsi umatnya terhadap seni.

Sesuatu yang indah, teratur, lunak, halus, unik dan kreatif tidak akan terhasil melainkan dari seseorang atau sekumpulan orang yang bijak, mahir, minat, pakar dan ahli dalam sesuatu bidang. Istiqamahnya mereka dalam bidang masing-masing menatijahkan seni untuk menambahbaik kualiti, meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan impak sesuatu hasil kerja bagi melancarkan sesuatu urusan, seterusnya memuaskan hati para pemegang taruh. Keberhasilan sesebuah karya seni dalam memberikan impak positif terhadap ruang lingkup keperluan hidup insani terkait, menjadikan ia diterima pakai oleh para pengamal dan masyarakat umum, sehingga menjadi budaya yang diwarisi. Budaya inilah yang akhirnya akan menyumbang kepada kesejahteraan sebuah bangsa, seterusnya membawa kepada kemajuan dan kegemilangan sebuah tamadun.

Justeru, seni perlu dilihat dalam konteksnya yang holistik, merentasi semua bidang kehidupan. Senilah yang mendorong kemajuan sebuah bangsa dan kebangkitan sebuah tamadun. Senilah yang menggerakkan para warga dalam setiap segmen kehidupan, untuk melakukan inovasi dan meningkatkan kreativiti bagi menunaikan tanggungjawab. Tanpa seni, tiada penambahbaikan dan tiadalah kemajuan dalam kehidupan insan. Tanpa budaya, seni yang baik akan terkubur dan tiadalah dampaknya kepada kehebatan bangsa. Bagai takrifan dalam Kamus Dewan, budaya adalah kemajuan jasmani dan rohani manusia, serta juga kemajuan fikirannya menerusi latihan dan pengalaman. Ia merangkumi adat, tingkah laku, cara berfikir, berpakaian dan sebagainya yang diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa. Manakala ‘membudayakan’ pula bermaksud mengajar atau mendidik seseorang, masyarakat dan lain-lain supaya berfikir secara ilmiah atau membiasakan sesuatu perilaku seperti perbuatan dan lain-lain yang baik, supaya menjadi kebiasaan dan kelaziman. Tuntasnya seni dan budaya adalah dua rangkaian penting dalam proses pembinaan sebuah bangsa yang bercita-cita besar.

Sebagai generasi pewaris kepimpinan negara, golongan muda terutama para siswa-siswi universiti hari ini perlu dibentuk untuk memiliki jiwa, pemikiran, tingkah laku, adab susila serta citra diri yang seni seperti ini. Menghadapi cabaran kompleks duniawi yang menerjah dari segenap pelosok ibarat tsunami yang membadai, tidak ramai yang mampu meloloskan diri, apatah lagi mendepani dan mengeksploitasinya ke arah kebaikan dan kesejahteraan, melainkan insan yang mempunyai karakter seni. Dengan nilai pada personaliti dan kualiti jati diri yang tercipta ini, para pewaris kegemilangan ummah mampu bingkas menyerap tekanan menjadi hiburan, mengolah cabaran menjadi peluang, merubah kegagalan menjadi suntikan kejayaan dan mencerap rintangan menjadi ramuan kemenangan, lantas meroboh halangan untuk meneroka lautan potensi. Kombinasi personaliti unggul ini dengan kecemerlangan akademik mengikut bidang pengkhususan masing-masing, menjadikan para graduan dari puncak menara gading, modal insan hebat kepada negara, umat dan manusia sejagat.

Menyedari hakikat ini, peranan seni budaya sangat penting untuk diaktifkan sebagai sebahagian dari elemen teras pendidikan. Pun begitu, memandangkan ianya telah terkepung dengan berbagai serangan bagi mengalih fungsinya sebagai instrumen pendidikan kepada instrumen pemusnahan, satu usaha perlu dilakukan bagi mengembalikan bidang ini ke landasan sebenar, agar dapat berperanan secara positif dan efektif dalam memacu kemajuan negara. Justeru, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai entiti bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan bakat seni di universiti ini, telah berusaha menyediakan sebuah garis panduan khas bagi membantu para pentadbir, siswa-siswi, bahkan masyarakat umumnya dalam menganjur, mengurus, menerbit atau menghasilkan karya seni, agar selari dengan lunas hukum dan maqasid syariah.

Garis panduan komprehensif merangkumi persembahan seni, penerbitan bahan bercetak, kandungan media dan produk seni kreatif ini, telah melalui proses penyelidikan terhadap garis panduan sedia ada, akta-akta berkaitan, sesi libat urus bersama penggiat seni, kelab kesenian pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar, Jabatan Undang-undang dan panel penasihat syariah universiti, selanjutnya telah diluluskan pemakaian dan penguatkuasaannya dalam konteks USIM oleh Jawatan Kuasa Pengurusan Universiti. Garis panduan ini turut sesuai untuk dijadikan rujukan para pengamal, penyelidik dan pengurus program seni budaya, penerbit bahan bercetak berkaitan dan penyedia kandungan media.

Dengan adanya garis panduan ini, diharapkan masyarakat tidak lagi terjebak dengan polemik mengenai penglibatan siswa-siswi dalam aktiviti kebudayaan, kesenian dan karya kreatif atau seumpamanya, kerana ia sebahagian dari keperluan dalam membentuk modal insan sejahtera, berdaya maju dan berdaya saing, selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang digagaskan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi.

 

Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff.

 

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)