PPS SK Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut mula dibuka hari ini. Gambar : Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang

KUANTAN – Seramai 75 individu di Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut dekat sini berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara Banjir (PPS) selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir awal pagi tadi.

Berdasarkan maklumat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang, kesemua mangsa membabitkan 19 keluarga itu diarah berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 sejak pukul 9 pagi tadi.

“Hujan lebat berterusan sejak semalam telah mengakibatkan  Sungai Siam melimpah keluar menyebabkan beberapa buah rumah di kawasan tersebut dinaiki air sehingga pukul 3 pagi tadi,” katanya.

Mangsa yang terpaksa berpindah ke PPS terbabit melibatkan lima warga emas lelaki, tujuh warga emas wanita, 39 orang lelaki dan wanita dewasa dan 24 orang kanak-kanak.

Pemantauan dilakukan di Sungai Siam, Jerantut pagi ini.
Sumber : Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang

JPBN Pahang memberitahu, paras air Sungai Siam mula menunjukkan trend menurun dan mulai surut namun keadaan semasa masih dipantau kerana dikhuatiri paras air kembali meningkat jika berlaku hujan berterusan.

Untuk makluman, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan Daerah Jerantut sebagai dalam amaran bahaya (Merah) berikutan hujan sangat lebat dijangka berlaku sehingga esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast