Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Terdapat kecenderungan dalam kalangan pemimpin dan ahli Amanah untuk mewujudkan team dalam pemilihan yang boleh memecahbelahkan parti itu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, sistem pemilihan kepimpinan parti yang berbeza berbanding UMNO dan Pas adalah untuk mengelak kewujudan team dalam Amanah.

“Parti Amanah Negara pimpinannya adalah atas dasar syura dipilih oleh 27 (Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah) bincang, runding dengan baik pilih kepimpinan tertinggi. Kita tak nak adanya team A, team B. Kita hendak syura.

“Tapi nampaknya gaya baru-baru ini timbul lagi gejala team A, team B. Saya harap tak perlulah kita kempen. Sudah pilih 27 kita serah kepada kebijaksanaan 27 pemimpin yang kita sudah pilih,” katanya dalam penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023.

Lebih 1,000 perwakilan Amanah yang hadir pada konvensyen parti akan mengundi petang ini untuk memilih 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan (JKP) Amanah.

Kesemua 27 JKP serta tiga pemimpin utama sayapnya, kemudian akan bermesyuarat bagi memilih kepimpinan tertinggi iaitu presiden, timbalan presiden serta tiga naib presiden.

Sistem itu hampir sama seperti yang diamalkan oleh DAP di mana perwakilan akan memilih Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) dan kemudian CEC akan berbincang untuk memilih kepimpinan tertinggi.

Sementara itu, Khalid turut mengingatkan para perwakilan supaya mengutamakan kepentingan parti dan negara berbanding mengejar cita-cita peribadi.

Beliau meluahkan rasa kecewaa terhadap segelintir ahli parti yang membuat kritikan terbuka di media termasuk isu dalaman parti sehingga memberikan imej buruk.

“Perpaduan ini senang kalau hati kita bersih dan pentingkan parti serta negara, lebih daripada pentingkan cita-cita sendiri atau kelompok.

“Saya kecewa bila ada bantahan, tapi tak puas hati bawa pergi media, bila bawa ke media maknanya kamu tak pentingkan kesan buruk dan negatif terhadap parti,” katanya. – MalaysiaGazette