Thinalan

KUALA LUMPUR – MIC kecewa apabila Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA)  yang dahulu di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi kini diletakkan semula di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Thinalan Rajagopalu, pihaknya tidak diajak berunding ekoran perkara yang sama.

Malah parti itu yang sebelum ini telah berusaha sehabis baik dengan meletakkan MITRA di bawah seliaan JPM ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia bagi memastikan pembahagian dana dan program pemerkasaan sampai ke golongan sasaran masyarakat India, katanya.

Thinalan berkata, MITRA sepatutnya terus berada di bawah pemantauan Perdana Menteri supaya masyarakat India akan dapat manfaat menyeluruh tanpa adanya sebarang tekanan politik serta isu lain.

“Untuk makluman, MIC langsung tidak diajak untuk berunding sebelum adanya pertukaran MITRA ke Kementerian Perpaduan kecuali dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sahaja. Langsung tiada usaha kaji terlebih dahulu apakah implikasi pertukaran ini.

“Hakikatnya kita tidak merendahkan kemampuan Perdana Menteri dalam membuat keputusan beliau kerana beliau fokus dalam memastikan kebajikan serta kepentingan kaum India di negara ini terjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan beliau akan sentiasa memantau unit khas itu yang bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Masyarakat India sejak lebih 10 tahun penubuhan MITRA telah banyak kali melahirkan kekecewaan tidak terhingga sebelum ini malah ianya juga telah menjadi bahan kempen untuk pembangkang untuk meraih undi bagi memastikan unit itu akan lebih telus dan fokus kepada objektifnya.

MITRA telah melalui pelbagai cabaran dan skandal sehingga ada beberapa pihak dalam kalangan ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) pernah didakwa di mahkamah kerana penyelewengan dana.

Ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pada 2022 memohon ia kembali diletakkan di bawah JPM supaya pelbagai kekangan dalam membelanjakan RM100 juta yang diperuntukkan setiap tahun dalam masa yang ditetapkan dapat diatasi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MITRA sudah seperti ‘bola’?