Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Pas mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut agama Kristian di seluruh negara yang akan menyambutnya pada Isnin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sambutan diharap dapat berjalan dengan lancar dalam suasana selamat dan harmoni sekali gus menjadi pembuka pintu hari-hari yang lebih baik serta bermakna.

“Kepelbagaian perayaan serta acara sambutan, sama ada berasaskan agama atau budaya, berjalan secara harmoni dan meriah dalam kalangan pelbagai kelompok adalah manifestasi keunggulan sikap lunak, bertoleransi serta saling menghormati antara kita yang kukuh terjalin sejak sekian lama.

“Ia bukan sahaja perlu dipertahankan daripada kecenderungan yang boleh melemahkan keunggulan sikap itu.

“Malah perlu terus disuburkan atas kesedaran bahawa kepelbagaian yang wujud merupakan khazanah berharga masyarakat Malaysia untuk menambah nilai kepada mutu kehidupan bersama kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sambutan Hari Krismas atau dipanggil Hari Natal disambut pada 25 Disember setiap tahun oleh penganut Kristian.

“Pas sentiasa meraikan dan terbuka kepada kepelbagaian, bukan sahaja sebagai ciri istimewa masyarakat, tetapi juga sebagai teras ajaran Islam itu sendiri yang menerima realitinya dalam ikatan keluarga besar kemanusiaan meliputi semua orang.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast