Kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke kiri jalan.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan di Kilometer 87.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Gurun, hari ini.

Kejadian jam 7 pagi itu turut menyebabkan dua penumpang kereta jenis Perodua Viva yang terdiri daripada remaja lelaki berusia 15 tahun dan wanita 42 tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga mereka dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Butterworth, Pulau Pinang sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Impak pelanggaran kuat di penghadang kiri jalan telah mengakibat pemandu kereta itu mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala wanita di bahagian penumpang hadapan dan remaja lelaki itu pula mengalami kecederaan ringan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Zaidy, semakan lanjut mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast