Antara wajah-wajah anak etnik bajau yang di atas jambatan atas air sambil memakai pelitup muka dan berlatar belakangkan pemandangan laut ketika tinjauan Malaysia Gazette di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penubuhan Iskul Sama Dilaut Omadal atau Sekolah Bajau Laut Omadal memerlukan perbincangan lebih lanjut daripada pelbagai kementerian dan agensi.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen perlu diambil sebelum sekolah itu dibenarkan beroperasi.

Ini termasuk meneroka opsyen seperti model pelaksanaan sekolah bimbingan jalinan kasih (SBJK) yang dijalankan di beberapa tempat sebagai langkah KPM dalam berhadapan dengan isu terbabit.

KPM menegaskan, Malaysia bukan negara pihak kepada Perjanjian Status Pelarian 1951 atau Protokol Pelarian 1967 bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, penyediaan PBA adalah satu inisiatif kemanusiaan oleh kerajaan untuk pendidikan kepada kanak-kanak pelarian bagi menyediakan mereka untuk penghantaran ke negara ketiga.

“Penubuhan PBA adalah tertakluk kepada ketetapan kerajaan dengan mengambil kira aspek pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan pelarian iaitu Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 – Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) serta keselamatan negara.

“Susulan daripada itu, KPM juga mengambil kira pandangan kementerian serta agensi lain yang berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut sama ada memberikan kebenaran pengoperasian Iskul Sama Dilaut Omadal yang mana tertakluk kepada keputusan dasar Kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM mengulas mengulas polemik yang membabitkan pengoperasian Iskul Sama Dilaut Omadal seperti yang dilaporkan oleh media.

Persatuan Pendidikan Bajau Laut telah mengemukakan permohonan penubuhan sekolah itu dibawah institusi pendidikan swasta dalam kategori pusat bimbingan alternatif kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 30 Oktober lalu. – MalaysiaGazette