KUALA LUMPUR – Syarikat milik penuh bumiputera, VFive Group menetapkan sasaran melipatgandakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pembiayaan mencecah RM30 juta tahun depan.
Ia merupakan pertambahan sebanyak RM5 juta dana daripada RM25 juta yang diperuntuk tahun ini.
Antara program CSR seperti Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki, sumbangan bakul makanan, kelas al-Quran, tajaan pelajar tahfiz ke Yaman, tajaan bilal dan imam mengerjakan umrah, program korban dan pelbagai program lain.
Inisiatif itu dilaksanakan melalui Yayasan VFive bertumpu pada pembangunan modal insan komuniti dengan sasarannya golongan kurang berkemampuan. Yayasan VFive turut menyumbang RM1 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) diselaras Kementerian Luar Negeri baru-baru ini.
Pengasas dan Pengerusi Yayasan VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, CSR antara satu daripada 10 petunjuk prestasi utama (KPI) syarikat bagi 2024 selain sasaran keuntungan tiga kali ganda berbanding dicapai ketika ini.
“CSR sebahagian daripada inisiatif kami bagi memantap dan menstrukturkan program membantu komuniti kurang berkemampuan di seluruh negara.
“Syarikat juga akan terus memperkasa pembudayaan Islam dan kerohanian dalam kalangan kakitangan bagi mengembangkan perniagaan pada masa depan.
“Kami yakin konsep keberkatan itu melalui solat, sedekah dan sebagainya. Tahun ini, syarikat berjaya melaksanakan program CSR dirancang menerusi Yayasan VFive yang ditubuhkan April 2021. Kami berhasrat membantu lebih ramai golongan memerlukan pada masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Syafiq yang juga Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group berkata, syarikat turut merancang mengembangkan perniagaan dalam industri sawit dan hartanah dan sudah mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi untuk dibangunkan dengan projek berkenaan bermula tahun depan.
“VFive juga akan terus memperkukuh perniagaan sedia ada merangkumi bidang acara dan pameran serta media digital dan kreatif untuk memberi keyakinan kepada pelanggan memilih kami sebagai rakan perniagaan,” ujarnya.
Tahun depan, syarikatnya bercadang menembusi perniagaan bidang teknologi maklumat (IT) di Asia Barat seperti Arab Saudi.
“Ketika ini, pasukan kami sudah ada di sana bagi mendapatkan lebih banyak peluang dalam bidang berkenaan. Kami juga telah membuka pejabat di Jakarta, Indonesia tahun ini dengan fokus kepada bidang media secara kerjasama dengan syarikat media utama di republik berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette