Sigrid Kaag

WASHINGTON – Siapakah Sigrid Kaag yang dilantik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sebagai penyelaras kemanusiaan untuk Gaza bermula 8 Januari ini?

Kaag bakal melakukan misi mustahil di Gaza berikutan kesombongan dan keangkuhan Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat dalam agenda membunuh seramai mungkin penduduk Gaza.

Bagaimanapun Kaag yang merupakan ahli politik Belanda mempunyai latarbelakang misi kemanusiaan yang cukup luas selain kemampuannya bertutur dalam pelbagai bahasa.

Kaag memegang beberapa ijazah termasuk Sarjana Seni dalam Pengajian Timur Tengah dari Universiti Exeter. Selain bahasa ibunda Belanda beliau mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab, Jerman, Perancis, Inggeris dan Sepanyol

Kaag mengisi pelbagai peranan dengan PBB antara 1994 dan 2017, dengan kebanyakan kerjanya tertumpu pada Timur Tengah.

Beliau adalah pengurus program kanan dengan Pejabat Perhubungan Luar UNRWA di Baitulmaqdis, pengarah wilayah untuk Timur Tengah dan Afrika Utara untuk UNICEF dan penyelaras khas PBB untuk Lubnan.

Kaag menyertai kerajaan Belanda pada 2017 dan pertama kali berkhidmat sebagai menteri perdagangan luar negeri dan kerjasama pembangunan.

Dia juga telah menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri Belanda sejak Januari 2022 – peranan yang kini akan ditinggalkannya untuk menyertai semula PBB.

Guterres mengumumkan pelantikan Kaag selaras dengan keputusan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Jumaat lepas untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Resolusi yang sama gagal menggesa gencatan senjata dan tidak jelas bagaimana Kaag akan meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di bawah pengeboman tanpa henti oleh tentera Israel.

Sehingga kini lebih 21,000 rakyat Palestin mati akibat dibom oleh Israel dengan lebih 50,000 mengalami kecederaan.

Gaza kini berada dalam kepungan Israel dengan kira-kira 1.8 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, tidak mempunyai makanan dan air serta berhadapan dengan krisis kesihatan.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast