IPOH – Dua lelaki terbunuh selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka terhumban dalam tali air di Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri hari ini.
Impak kejadian jam 11.40 pagi itu mengakibatkan pemandu berusia 39 tahun dan penumpangnya, 25, ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan itu sebelum disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Mohd Uzir Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux yang membawa muatan kelapa sawit dari ladang di Kampung Pulau Pisang itu mahu keluar ke Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja.
“Ketika melalui kawasan kejadian, kenderaan itu dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dan terbalik ke dalam tali air menyebabkan separuh bahagian atas tenggelam.
“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam pacuan empat roda itu sebelum dibawa keluar dengan bantuan pihak bomba.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mereka meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat lemas.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di talian 014-679 0829 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette