Pasukan pejuang Palestin sedang bersembayang.

WASHINGTON – Serangan sayap bersenjata Hamas, al-Qassam terhadap askar Israel di Gaza menyaksikan pejuang Palestin itu menggunakan senjata yang lebih canggih berbanding sebelum ini.

Al Jazeera melaporkan, Institut Kajian Perang (ISW) yang berpangkalan di Washington dan Projek Ancaman Kritikal (CTP) mendapati pejuang Palestin itu memberi cabaran hebat terhadap tentera zionis.

Misalnya pertarungan selama enam jam di kawasan Saftawi di utara Kota Gaza menyaksikan al-Qassam menggunakan “roket termobarik” untuk pertama kali menentang pasukan khas Israel.

Mereka turut melepaskan dua peluru berpandu darat ke udara mudah alih ke arah helikopter Israel, walaupun gagal menembak jatuh, laporan pemantau perang.

Sementara itu protal Al Mayadeen pula melaporkan, al-Qassam mengumumkan penggunaan roket baharu, yang mula beroperasi di Gaza baru-baru ini untuk menghadapi pencerobohan tentera Israel.

Roket RPO-A

Peluru anti-kubu buatan Rusia yang dikenali sebagai Shmel, digunakan buat pertama kali apabila menyasarkan unit pasukan khas Israel yang ditempatkan di sebuah rumah di Jalan Lama Gaza di Jabalia.

Ia mempunyai jarak maksimum 950 meter, dengan jarak berkesan 300 meter.

Dalam kenyataan berasingan, al-Qassam mengumumkan menyasarkan dua helikopter Israel dengan peluru berpandu SA-18 darat ke udara, satu di kawasan Saftawi di utara Bandar Gaza dan satu lagi di timur kem pelarian Jabalia.

Kumpulan itu berkata, pejuangnya terlibat dengan pasukan Israel di Saftawi selama enam jam berturut-turut malam tadi.

Konfrontasi menyaksikan pejuang Palestin menggunakan bahan letupan anti-kereta kebal Shawaz dan peluru al-Yassin 105, sebagai tambahan kepada peluru anti-kubu TGB.

Pertempuran hebat memaksa tentera penjajah Israel untuk memanggil helikopter untuk melindungi pengunduran tentera mereka.

Selain itu, al-Qassam juga mengeluarkan rakaman yang mendokumentasikan penyasaran tentera Israel dan pemusnahan kenderaan mereka di kawasan kejiranan al-Shujaiya, timur Kota Gaza.-Agensi