Pelakon terkenal India, Vijayakanth meninggal dunia hari ini.

CHENNAI – Pelakon terkenal India Selatan yang kemudian menjadi ahli politik, Narayanan Vijayaraj Alagarswami atau lebih dikenali sebagai Vijayakanth, 71, meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Chennai, India sekitar jam 11 pagi waktu tempatan.

Vijayakanth yang juga pengasas parti Desiya Murpokku Dravida Kazhagam (DMDK) dipercayai mempunyai masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun tahap kesihatannya merosot selepas dijangkiti Covid-19 semalam.

Pelakon yang sangat terkenal ketika era 80 hingga 2000 itu mempunyai jutaan peminat terutamanya dalam kalangan peminat filem Tamil seluruh dunia.

Difahamkan, Vijayakanth telah dimasukkan ke hospital di Chennai sekitar November kemudian keluar sebelum membuat kemunculan pada mesyuarat agung tahunan parti DMDK selepas itu.

Pada 14 Disember lepas, isteri kepada Vijayakanth, Premalatha Vijayakanth juga telah diumum sebagai Setiausaha Agung DMDK.

Pelakon Vijayakanth sudah mula sakit dan sering keluar masuk hospital sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara filem yang telah membawa nama besar kepada Vijayakanth sehingga beliau memiliki nama ‘Puratchi Kalaingar’ ialah ‘Sattam Oru Irutarai’, ‘Sivapu Mallai’, ‘Nanne Raja Nanne Mandiri’, Coolikaran, ‘Veeran Veluthambi’, ‘Chinna Gounder’ dan juga berjaya menghasilkan filem ke-100, ‘Captain Prabakaran’.

Beliau aktif berlakon sehingga tahun 2015 dan berlakon sebanyak 154 filem yang rata-ratanya adalah ‘blockbuster’.

Setakat artikel ini ditulis, ribuan dalam kalangan peminat serta ahli parti sudah mula membanjiri hospital tempat beliau dirawat serta kediamannya di Tamil Nadu. -MalaysiaGazette