Musim hujan seringkali membawa dampak yang signifikan, terutama dalam bentuk banjir yang dapat mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

MUSIM hujan seringkali membawa dampak yang signifikan, terutama dalam bentuk banjir yang dapat mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Banjir adalah bencana alam yang terjadi secara tiba-tiba dan memberikan dampak besar pada kemusnahan harta benda dan kehidupan manusia.

Lebih buruk apabila musibah besar itu turut meragut nyawa tanpa mengira perbezaan usia dan gender. Semalam, negara digemparkan dengan kehilangan kanak-kanak berusia 11 tahun dikhuatiri lemas ketika bermandi-manda bersama-sama dua lagi rakannya di sebatang sungai Kg. Tok Hakim Padang Midin setelah teruja melihat ketinggian paras air yang tinggi dan mengalir deras akibat hujan lebat berterusan di negeri Terengganu sejak beberapa hari lalu.

Media turut melaporkan kejadian lemas kira-kira dua hari lalu di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang melibatkan dua kanak-kanak perempuan yang berusia 11 tahun ketika bermain banjir dan tergelincir dibawa arus deras.

Kejadian mati lemas seakan sinonim dengan musim banjir dan peristiwa seperti itu perlu dielak dan diambil iktibar oleh masyarakat. Ibu bapa khususnya perlu peka akan keberadaan anak-anak dan sentiasa mengawasi aktiviti yang dilakukan mereka dikala waktu banjir.

Bagi kanak-kanak, banjir merupakan kejadian alam yang perlu diraikan dengan berpesta, mandi-manda, memancing dan sebagainya tanpa menghiraukan bahaya yang bakal menimpa.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menyebarkan pengetahuan berkaitan musibah banjir serta risiko yang bakal menimpa. Tanamkan dalam minda anak-anak bahawa peristiwa banjir bukanlah suatu pesta yang perlu diraikan, malah ia adalah musibah bencana yang membahayakan dan mampu meragut nyawa!

Bagi yang berada di kawasan berisiko atau sering dilanda banjir, adalah wajar untuk ketua keluarga mempersiapkan peralatan penting bagi berdepan situasi cemas seperti pelampung keselamatan, jaket keselamatan, lampu suluh, pek makanan ringkas dan lain-lain agar waktu yang singkat itu kita berjaya memastikan ahli keluarga dalam keadaan selamat.

Beberapa langkah keselamatan perlu diberi perhatian seperti peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berwajib, sumber elektrik, simpan nombor talian kecemasan pada telefon bimbit dan lain-lain, pastinya kita dapat mengurangkan risiko dan kesan buruk yang mungkin berlaku ketika musim banjir.

Keselamatan merupakan elemen yang tidak boleh dikompromi dan ia perlu diletakkan keutamaan dalam apa jua situasi, kesiapsiagaan adalah kunci untuk keselamatan diri, keluarga dan orang-orang yang berada di sekeliling ketika berepan dengan musibah.

Artikel daripada Universiti Malaysia Terengganu