Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyaksikan penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan dan Jenayah Komuniti daripada Komisioner Polis (CP), Datuk Seri Aidi Ismail (kiri) kepada CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Komisioner Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Beliau ditauliahkan ke jawatan itu dalam satu istiadat Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan JPJKK Bukit Aman di DEwan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir menyempurnakan istiadat serah terima tugas jawatan dan pemakaian pangkat itu.

Wan Hassan akan dilantik ke jawatan itu menggantikan Datuk Aidi Ismail yang akan bersara pada 1 Januari 2024 nanti.

Aidi sebelum ini merupakan Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak sebelum menerajui jawatan Pengarah JPJKK sejak 20 Januari 2022.

Ayob dalam ucapannya merakamkan setinggi penghargaan kepada Datuk Seri Aidi Ismail yang akan menjalani persaraan wajib pada 1 Januari ini atas segala khidmat bakti yang dicurahkan hampir 36 tahun dalam perkhidmatan PDRM.

“Umpama hilang sebutir permata berharga, jasanya akan sentiasa diingati selama-lamanya.

“Walaupun sebesar mana pangkat kita, tetap akan bersara juga dan tiada yang kekal selama-lamanya dalam hidup ini..yang hanya tinggal adalah amalan serta nama baik dan kebaikan kita.

“Oleh demikian saya berharap para pegawai dan anggota dalam PDRM supaya melaksanakan tugas amanah dengan penuh berintegriti, ikhlas dan juga jujur, bukannya untuk bermegah-megah dan ambil kesempatan atas pangkat kita dalam perkhidmatan.

“Kepada Datuk Wan Hassan yang dilantik sebagai Pengarah baharu JPJKK, diharap ilmu dan pengalaman luas yang dimiliki beliau mampu melaksanakan tanggungjawab baharu yang diamanahkan ini dengan sempurna,” katanya dalam ucapan tersebut.

Untuk rekod, Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Kedah baharu menggantikan Datuk Kamarul Zaman Mamat pada 5 Januari 2022.

Kemudian beliau telah kembali ke Bukit Aman selepas ditukarkan jawatan sebagai CP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman sejak 22 Mei lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast