PLUS
Pengguna lebuh raya PLUS terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk pada musim perayaan dan waktu puncak. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lorong di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) perlu ditambah bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku ketika musim perayaan dan waktu puncak.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, fakta menunjukkan PLUS Malaysia Berhad telah mengutip bayaran tol kira-kira RM36.39 bilion setakat 2015, berbanding kos pembinaan sebanyak RM5.9 bilion.

“Maka alangkah eloknya pendapatan yang diraih ini dikembalikan semula kepada pengguna dengan menambah lorong demi manfaat serta keselesaan rakyat.

“Isu penambahan lorong lebuh raya sememangnya adalah permintaan ramai rakyat yang patut diberikan perhatian oleh kerajaan dan disusuli dengan tindakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

wan ahmad fayhsal lawatan rasmi
Neow Choo Seong

Beliau memberitahu, berikutan kepadatan penduduk khususnya di ibu negara, ramai yang memilih untuk menetap di luar dan berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk bekerja setiap hari.

Choo Seong menambah, sudah tiba masanya kerajaan bertindak untuk mengatasi kesesakan yang semakin teruk di PLUS ekoran pertambahan kenderaan yang luar biasa.

“Perlu ditekankan bahawa masalah kesesakan di lebuh raya bukan sahaja berlaku ketika musim perayaan atau cuti peristiwa, malah ia sesak setiap hari semasa waktu puncak, terutamanya melibatkan kawasan ‘bottle neck’ selepas Slim River ke arah utara di mana lorong laluan lebuh raya berkurang menjadi dua,” jelasnya.

Beliau mengingatkan bahawa ada pihak yang pernah berjanji untuk menghapuskan tol menerusi pelbagai formula setelah mereka berkuasa, namun ia tidak dilaksanakan.

Malah, katanya, tidak kelihatan penambahbaikan yang serius dilakukan dari segi perkhidmatan dan kesungguhan dalam memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

“Pandangan umum merasakan, sepatutnya kita sebagai pengguna dapat menikmati perjalanan lancar tanpa kesesakan kerana telah membayar tol.

“Malangnya, ia tidak berlaku, malah menyebabkan pengguna mengalami stres atau tekanan setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jangan lupa upgrade juga sistem bayaran tol. Dulu canang sistem rfid tu boleh detect berkali ganda lebih pantas dr smart tag. Skang ni masalah nak detect masa perlahan pun masih tak settle2.

Comments are closed.