SHAH ALAM – Bekas pemain bola sepak negara, Khalid Jamlus berkata Harimau Malaya berada di landasan terbaik bagi menghadapi cabaran saingan kumpulan E Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai pada Januari depan.
Berdasarkan pengalaman beliau, pemenang Kasut Emas itu berharap pasukan bimbingan Kim Pan Gon mampu mengekalkan prestasi cemerlang menjelang dua aksi pertama kumpulan iaitu menentang Jordan pada 15 Januari dan Bahrain pada 20 Januari.
Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada kedua-dua negara kerana faktor fizikal pemain selain kelebihan yang dimiliki mereka.
Pertemuan terakhir Malaysia dengan Jordan adalah pada aksi persahabatan antarabangsa 2021 yang menyaksikan pasukan negara tewas 0-4 manakala perlawanan dengan Bahrain ialah pada kelayakan Piala Asia 2023 di mana Harimau Malaya tewas 1-2.
“Tapi dengan pasukan (Harimau Malaya) yang ada ini, saya rasa bukan satu masalah dan saya yakin mereka dapat menewaskan pasukan Jordan untuk mencuri mata pertama,” katanya kepada pemberita pada Kejohanan Bola Sepak KTM KOMUTER 2023 di sini hari ini.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.
Khalid turut memuji prestasi membanggakan yang ditampilkan oleh dua pemain negara iaitu pemain sayap Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim, atau lebih dikenali sebagai Mickey, dan penyerang Kuala Lumpur City (KL City) FC Haqimi Azim Rosli.
Bekas bintang pasukan Perak itu berkata, kedua-duanya merupakan pemain terbaik yang boleh diletakkan sebagai harapan bagi skuad negara selain berharap lebih ramai penyerang berbisa dapat dilahirkan untuk memastikan Harimau Malaya tidak ketandusan pemain.
Beliau juga berpendapat pemain tempatan perlu diberi keutamaan berbanding pemain naturalisasi walaupun kehadiran mereka banyak membantu memperbaiki ranking dunia Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Khalid mengingatkan pemain tempatan agar menampilkan aksi terbaik bagi merebut kesebelasan utama pasukan.
“Pemain tempatan kita kini lebih baik berbanding dahulu, jadi harap mereka diberi peluang lebih untuk bermain dan menonjol, sekarang naturalisasi dah memenuhi bola sepak negara, (kesan) jangka panjang nanti pemain tempatan tiada apa,” katanya. – Bernama