Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

JOHOR BAHRU – Dua induvidu terpedaya dengan salah seorangnya menjadi mangsa penyamaran sebagai polis (police scam) melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM2,290,713 baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar, pihaknya telah menerima dua laporan oleh dua mangsa berbeza, seorang lelaki dan seorang perempuan ditipu phone scam dan juga pelaburan tidak wujud.

Kata beliau, aduan pertama daripada seorang wanita tempatan berumur 45 tahun dan merupakan kerani sebuah syarikat swasta telah menerima panggilan telefon dari seorang individu mengaku dirinya polis.

“Pengadu diberitahu akaun bank terlibat dalam satu kegiatan penggubahan wang haram dan menawarkan dirinya untuk membantu dengan mengarahkan mangsa menyerahkan semua butiran bank miliknya termasuklah akses kepada transaksi atas talian.

“Mangsa mengikut arahan dengan memindahkan semua wangnya ke akaun lain seperti diarahkan dan hanya menyedari dirinya ditipu selepas semua wang berjumlah RM1,086,350 telah dikeluarkan dan suspek gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam kes berasingan, Kumar berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan yang juga warga emas berusia 70 tahun semalam mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.

Katanya pengadu mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu pada September lalu.

“Pengadu juga mendakwa individu berkenan daripada sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.

“Pada peringkat awal, pengadu cuba melabur dengan nilai yang kecil dan menerima keuntungan yang dijanjikan, menyebabkan pengadu percaya dengan skim pelaburan terbabit dan menambah pelaburan secara berperingkat sehingga berjumlah RM1,204,363.

“Pengadu menyedari dia ditipu selepas mendapati wang keuntungan atas pelaburannya tidak dapat dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuk diarahkan membuat bayaran-bayaran lain,” katanya.

Kedua-dua kes ini kita siasat bawah Sesyen 420 Kanun Keseksaan. Polis Johor menasihatkan semua supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam transaksi kewangan.

Orang ramai juga diseru untuk menggunakan perkhidmatan atas talian ‘semak mule’ sebelum membuat apa-apa pembayaran serta muat turun aplikasi ‘whoscall’ bagi mengurangkan risiko mangsa penipuan, ujarnya.

Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera bagi tindakan awal menyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek. -MalaysiaGazette