Tanaman nanas MS16 di MARDI Pontian

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempekenalkan hibrid baharu nanas yang dikenali sebagai MS16.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, hubrid baharu nanas ini hasil kerjasama pertukaran janaplasma MARDI pada tahun 1993 dengan Maroochy Horticultural Station di Nambour, Queensland, Australia yang membawa kepada jenis nanas tanpa duri ke Malaysia.

Ia kemudian dikacukkan dengan nanas Josapine bagi menghasilkan populasi hibrid tempatan.

Katanya, penyelidikan ini melibatkan kajian lebih 20 tahun bagi menghasilkan hibrid terbaik untuk pasaran nanas segar negara.

Beliau menambah, hibrid nanas MS16 menunjukkan prestasi terbaik dari ciri saiz buah, pengeluaran sulur yang banyak untuk keperluan pengeluaran bahan tanaman dan bersifat toleran terhadap penyakit reput teras bakteria.

“Berdasarkan kajian penerimaan dan kecenderungan pengguna mendapati MS16 setanding dengan varieti nanas MD2 dari segi kualiti rasa kerana nanas MS16 mempunyai ciri istimewa iaitu rasa buah yang manis dengan nilai kemanisan 16 – 21% Brix, isi berwarna kekuningan, tekstur buah agak rangup, beraroma dan kurang rasa lidas.

“Namun, MS16 dapat disimpan dalam jangka masa sekitar tujuh hari pada suhu rendah (10oC) dan lima hari pada suhu ambien (25oC) yang membolehkannya dipasarkan di pasaran tempatan sebagai nanas segar dan produk terproses seperti jus minuman,” katanya.

Pelancaran hibrid nanas baharu MS16 itu telah disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya pada 17 Disember lalu di Stesen MARDI Pontian, di Kampung Parit Selangor, Pontian, Johor.

Zabawi (dua dari kanan) bersama Ahmad Maslan (tengah) ketika pelancaran Hibrid Baharu Nanas MS16 di MARDI Pontian pada 17 Disember lalu.

Di samping itu jelas beliau, penghasilan sulur yang banyak dan daun tanpa duri juga dijangka menjadi faktor yang diminati petani kerana meningkatkan penjimatan kos pengeluaran hasil dan penyelenggaraan ladang.

“Selain itu, MS16 juga juga boleh ditanam di tanah mineral yang boleh membantu mempertingkatkan keluasan kawasan penanaman nanas negara yang pada masa ini lebih tertumpu di kawasan tanah gambut sekali gus akan dapat membantu meningkatkan produktiviti dan sumber pendapatan baharu kepada pengusaha tanaman nanas serta menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

“Permintaan sulur nanas MS16 ini sangat tinggi sejak ia mula dilancarkan 17 Disember 2023 lepas, justeru para petani dan peminat nanas yang ingin mendapatkan varieti baharu ini boleh menghubungi terus MARDI Pontian yntuk membuat tempahan sulur nanas MS16,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast