Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap lebih tegas menegur mana-mana pemimpin DAP yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu agama, kaum dan raja (3R) hanya terpakai kepada Perikatan Nasional (PN) sahaja.

“Namun, sekiranya melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan DAP disenyapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Berikutan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Semalam, Anwar menyatakan bahawa beliau menjunjung titah Sultan Sharafuddin itu dan menyarankan orang bukan Islam supaya membuat pertanyaan terhadap sebarang kemusykilan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Koo Ham telah memohon maaf atas cadangannya itu semalam sambil menjelaskan, beliau langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, walaupun Koo Ham telah meminta maaf, rakyat telah mengenali sikap DAP yang tidak pernah diam menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam.

Menurut beliau, kenyataan sensitif itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

“Perlu diingat, Koo Ham juga pernah bercakap dalam Parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara.

“Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014,” jelasnya.

Tuan Ibrahim turut menyatakan pendirian Pas yang menjunjung titah Sultan Sharafuddin dalam isu tersebut. – MalaysiaGazette