Kira-kira 100 peniaga makanan dan cenderamata di Medan Samudera di Banda Hilir di sini hari ini perlu menunggu dua minggu lagi terhadap cadangan supaya memendekkan tempoh penutupan jalan daripada 54 jam kepada hanya 18 jam.

MELAKA – Kira-kira 100 peniaga makanan dan cenderamata di Medan Samudera, Banda Hilir di sini hari ini perlu menunggu dua minggu lagi terhadap cadangan supaya memendekkan tempoh penutupan jalan daripada 54 jam kepada hanya 18 jam.

Beberapa peniaga ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini berkata, cadangan itu ada dikemukakan dalam dialog ringkas pada Jumaat lalu.

Sesi dialog santai itu dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka,  Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Menurut peniaga, tawaran itu walaupun sukar terpaksa dicadangkan sebagai gantian kepada pelaksanaan penutupan jalan selama 54 jam bagi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan yang dilakukan kerajaan sejak 22 Disember lalu.

“Sebenarnya kalau ikutkan kami tidak bersetuju jalan di hadapan Medan Samudera yang menjadi ikonik utama pelancongan Melaka ditutup 54 jam namun masih boleh terima jika tempoh penutupan dikurangkan kepada 18 jam.

“Itupun jika ia dilaksanakan bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam hari Jumaat dan tempoh sama pada Sabtu dan Ahad dan keputusan cadangan ini dijangka akan diketahui dua minggu lagi,” katanya.

Seorang lagi peniaga medan selera yang enggan dikenali berkata, penutupan waktu tempoh itu sekurang-kurangnya tidak terus ‘membunuh’ perniagaannya di situ sejak hampir 25 tahun lalu.

“Sekurang-kurangnya kalau saya dapat jualan RM600 sehari pun sudah cukup kerana waktu siang sebelum 6 petang bas membawa pelancong dapat masuk ke medan selera di sini.

“Memang kalau diikutkan jualan akan berkurang, tapi setidak-tidaknya ia lebih baik daripada terus ditutup 50 jam bermula 6 petang Jumaat hingga 12 tengah hari Ahad,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan melanjutkan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir daripada 6 petang hingga 12 tengah malam hanya pada Sabtu kepada bermula 6 petang Jumaat hingga 12 tengah hari Ahad menjadikan ia ditutup berterusan selama 54 jam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast