MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menafikan mengeluar saman terhadap individu yang memakai kostum katak sebagai tarikan berniaga di Banda Hilir yang tular semalam.
Datuk Bandar, Datuk Shadan Othman berkata, sebaliknya lelaki warga tempatan itu hanya diberikan resit bagi bayaran permit sementara kerana menjalankan aktiviti seniman jalanan.
Menurutnya, kejadian dalam video tular pada Sabtu lalu itu adalah aktiviti semakan dan kutipan oleh pegawai bertugas bagi bayaran permit sementara ke atas peniaga yang menjalankan aktiviti dalam Program Santai@Banda Hilir pada setiap hari Sabtu.
“Peniaga berkenaan bukanlah dikenakan kompaun atau saman pun sebagaimana didakwa dalam video yang tular.
“Permit sementara adalah untuk mengawal pendatang asing daripada melakukan pekerjaan kostum sebegini yang pernah diadukan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Shadan berkata, sejak program Santai@Banda Hilir yang dijalankan bermula Ogos 2023, pihak MBMB telah memberikan permit dan kebenaran kepada individu yang menjalankan aktiviti perniagaan termasuk maskot mengikut zon yang ditetapkan sekitar dalam kawasan Banda Hilir.
“Justeru kami berharap orang ramai tidak menyebarkan berita yang tidak sahih sebaliknya menyokong usaha kami untuk merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya. – MalaysiaGazette