KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kecewa dengan sikap warga kota yang masih belum sedar tentang aspek menjaga kebersihan ibu kota meskipun telah memasuki tahun baharu 2024.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi, DBKL berkata, meskipun warga kota memasang azam tahun baharu tetapi sikap buang sampai masih kekal.
“Masing-masing daripada kita sudah pasti memasang azam untuk lebih berjaya dalam mengejar impian pada tahun ini.
“Namun, permulaan bagi Kuala Lumpur pada tahun ini seperti biasa dicemari dengan sikap sesetengah warga kota yang masih mempunyai sikap dan cara berfikir di takuk lama.
“Membuang sampah sesuka hati dengan anggapan ‘pandai-pandai la DBKL bersihkan nanti’.
“Peliknya, kita masih nak bandingkan Kuala Lumpur dengan bandar-bandar di negara yang lain dari segi keindahannya?.
“Kena tengok la bagaimana sikap warga mereka dalam soal kebersihan,” kata pengendali laman sosial DBKL itu.
DBKL turut berkongsikan gambar-gambar keadaan sampah sarap selepas sambutan tahun baru, malam kelmarin.
“Bukannya minta anda tolong bersihkan kawasan…cukup sebagai permulaan, masing-masing urus sampah sendiri, jangan buang merata dan kalau perlu, bawa plastik sampah sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette