KOTA BHARU – Kelantan United FC (KUFC) memaklumkan bahawa isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu sejak Ogos lepas, telah diselesaikan dengan situasi menang-menang antara pihak pengurusan kelab, pegawai, kejurulatihan dan barisan pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif KUFC Wan Zul Ikmal Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan satu memo berhubung jadual pembayaran gaji dan dipersetujui oleh semua yang terlibat.
“Kami (KUFC) sentiasa komited melangsaikan segala hutang tunggakan apabila telah memulakan proses bayaran bermula pertengahan Disember 2023 iaitu separuh gaji bulan Ogos sebelum perlawanan terakhir Liga Super.
“Sehari selepas perlawanan itu, kelab telah melakukan pembayaran gaji untuk bulan September kepada semua pegawai, jurulatih dan pemain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zul Ikmal, menerusi persetujuan penjadualan, pembayaran bagi baki bulan Ogos adalah pada 31 Dis 2023.
“Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, pihak pengurusan kelab mengambil tindakan menghubungi pemain dan pegawai untuk menjelaskan keadaan tersebut.
“Namun, beberapa pemain serta pegawai yang memerlukan baki tunggakan tersebut, kami telah mengkreditkan gaji mereka dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pemain atau pegawai yang belum mendapat baki gaji bulan Ogos, pihaknya akan menyelesaikan pembayaran itu pada 3 Jan ini.
“Tiga bulan baki tunggakan gaji bagi bulan Oktober, November dan Disember pula akan diselesaikan pada 15 Jan dan 31 Jan 2024 untuk bayaran semua tunggakan gaji musim 2023.
“Penjadualan pembayaran tunggakan gaji ini turut dimaklumkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya. – BERNAMA