KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bercadang untuk menambah peruntukan Skim Program Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Tekun Nasional.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan memohon supaya dana sebanyak RM30 juta ditambah dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Menterinya, Datuk Ewon Benedick.
“Saya faham ramai usahawan memerlukan sokongan dan bantuan. Kita akan cuba bantu yang terbaik,” katanya.
Ramanan juga memaklumkan Ewon telah memohon kepadanya untuk melihat pelbagai keperluan lain yang boleh memberi manfaat kepada kaum India seperti SME Corp, Suruhanjaya Koperasi dan agensi-agensi lain di bawah kementerian itu.
Ia juga mencerminkan semangat kolaboratif yang akan menjadi pendorong utama bagi pembangunan ekonomi dan keusahawanan negara, ujarnya. – MalaysiaGazette