logo mahlamah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini membebaskan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia daripada 17 pertuduhan menerima suapan RM21,500 untuk melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Al-Ridhuan Ahmad Zaini, 38, di akhir kes pendakwaan pada Julai tahun lepas.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi 17 pertuduhan utama dan tiga pertuduhan alternatif. Oleh itu, tertuduh wajar dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut tanpa dipanggil membela diri,” katanya dalam penghakiman yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, terdapat banyak kelompangan dalam rangkaian keterangan saksi pendakwaan terutama dua pegawai imigresen iaitu Muhammad Hakim Hanafi, yang juga saksi pendakwaan ke-11, dan Noorashikin Radzali (saksi pendakwaan ke-27) yang merupakan rakan sejenayah dalam kes ini.

“Tiada bukti kukuh berkenaan jadual tugasan mereka (SP11 dan SP27) yang dikatakan elemen penting untuk dibuktikan kesahihan fakta penerimaan upah yang diterima mereka atas arahan tertuduh,” katanya.

Mengenai pertuduhan alternatif, Rozina berkata, tiada sebarang bukti menunjukkan penumpang yang dibenarkan keluar dari pintu keluar antarabangsa KLIA2 oleh SP11 dan SP27 adalah warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan wang yang diterima SP11 dan SP27 sebagai upah bagi membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen untuk keluar dari Malaysia,” katanya.

Perbicaraan kes itu bermula pada September 2021 dengan 31 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Mohd Al-Ridhuan didakwa menerima suapan itu daripada seorang wanita sebagai upah membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) untuk keluar dari Malaysia melalui pintu keluar udara KLIA2 tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tasik Utama 7, Medan Niaga Tasik Damai di sini antara 25 Julai dan 11 Nov 2020 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, Mohd Al-Ridhuan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Berdasarkan tiga pertuduhan alternatif, wang suapan berjumlah RM5,850 didakwa diperoleh Noorashikin manakala RM500 diperoleh Muhammad Hakim daripada tertuduh melalui pindahan wang sebagai upah bagi tujuan sama di Kompleks Perbadanan Putrajaya serta sebuah premis di Taman Connaught, Cheras pada 1 dan 2 Ogos 2020.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama