Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama timbalan menteri pendidikan, Wong Kah Woh hadir pada sidang media khas mengenai situasi terkini institusi pendidikan dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang terkesan banjir di Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 02 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Murid-murid yang kediaman atau pakaiannya terjejas akibat banjir boleh hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah diminta untuk memaklumkan mengenai perkara itu kepada murid-murid berkenaan.

“Sekolah perlu memaklumkan kepada murid-murid yang kediamannya dilanda banjir, mereka boleh hadir berpakaian biasa, sekiranya kesemua pakaian musnah semasa bencana tersebut.

“Bagi anak-anak yang terjejas dengan banjir, pakaian mereka juga hanyut atau pun hilang hingga menyebabkan mereka tiada pakaian ke sekolah, kita setuju bahawa mereka boleh datang ke sekolah menggunakan pakaian biasa asalkan (mereka) berpakaian, mereka boleh datang dengan pakaian yang sesuai,” katanya menerusi sidang akhbar khas berhubung situasi terkini institusi pendidikan KPM terkesan bencana banjir di sini, hari ini.

Menurutnya, langkah ini memastikan akses ke sekolah untuk mendapat jaminan pendidikan walaupun dalam situasi banjir.

Mengulas mengenai penularan wabak Covid-19 ketika ini, Fadhlina berkata, sebagai langkah berjaga-berjaga KPM telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua institusi pendidikan.

Mengenai aktiviti luar bilik darjah pula, katanya, arahan bergantung kepada surat pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak KPM sebelum ini.

“Semua institusi pendidikan KPM dimohon untuk terus mematuhi posedur operasi standard (MySOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dai semasa ke semasa serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 dan janbgkitan respiratori yang dikeluarkan oleh KKM,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast