Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal yang panik dikejar polis semasa berlumba haram dengan rakan-rakannya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kedai makan dalam di Pelabuhan Klang pada awal pagi sambutan Tahun Baharu 2024 semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya telah mengesan penularan satu rakaman video dalam media sosial berdurasi 22 saat berkenaan insiden tersebut.

Katanya, pada jam lebih kurang 3 pagi semalam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan telah menjalankan operasi ambang tahun baharu dengan menumpukan kepada aktiviti samseng jalanan di Persiaran Raja Muda Musa, Klang.

“Semasa operasi dijalankan, anggota-anggota polis yang bertugas telah ditempatkan di lokasi-lokasi persimpangan tertentu bagi tujuan penutupan jalan agar samseng-samseng jalanan tidak dapat meloloskan diri.

“Semasa serbuan, beberapa buah motosikal kuasa tinggi digunakan bagi menggempur lokasi (Persiaran Raja Muda Musa, Klang) yang dikenal pasti ketika itu sedang digunakan oleh samseng-samseng jalanan untuk  menguji kelajuan motosikal masing-masing.

“Kehadiran pihak polis menyebabkan mereka menjadi cemas dan kelam-kabut dan cuba meloloskan diri dari ditahan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, sebuah motosikal daripada kumpulan samseng itu iaitu jenis Yamaha Y15Z nombor pendaftaran tidak pasti yang ditunggangi oleh seorang lelaki secara laju dan berbahaya telah memasuki lorong kiri bersebelahan Persiaran Raja Muda Musa.

Jelasnya, anggota polis yang bertugas di lokasi berkenaan telah cuba menghalangnya memecut laju itu namun gagal sebelum suspek telah merempuh kerusi dan meja pelanggan yang berada di hadapan kedai makan Ram Singh Nasi Lemak Corner lalu menghilangkan diri ke arah Jalan Kem, Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, dalam kejadian terbabit tiada sebarang kecederaan berlaku kepada mana-mana orang awam atau anggota polis yang bertugas,

“Rentetan insiden itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh pegawai penyiasat trafik IPD Klang Selatan, Inspektor Mohd Najib Abu Mansur.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta tampil untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan pihaknya. – MalaysiaGazette