TOKYO – Sebuah pesawat Japan Airlines terbakar di Lapangan Terbang Haneda di sini hari ini dan anggota bomba dilaporkan sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu.
Japan Airlines memaklumkan, pesawat 516 terbabit dalam perjalanan dari Lapangan Terbang New Chitose, Hokkaido menuju ke Lapangan Terbang Haneda.
Menurut laporan NHK, api marak kelihatan menjulang keluar dari tingkap dan bahagian atas pesawat ketika ia masih lagi dalam pergerakan, menurut laporan media tempatan dan imej yang tersebar di media sosial.
Dilaporkan, pesawat itu dipercayai terlanggar sebuah pesawat pengawal pantai Jepun sejurus mendarat di Lapangan Terbang Haneda.
Susulan insiden tersebut, semua pesawat yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan dilencongkan ke lokasi lain.
Berdasarkan data dari Flight Radar, penerbangan dijadualkan tiba sebelum dan selepas 6.30 petang (waktu tempatan) semuanya diarahkan mendarat di lapangan terbang lain.— Agensi