Raja Petra Kamarudin
Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin

KUALA LUMPUR – Penulis blog kontroversi, Raja Petra Raja Kamarudin mendakwa 10 individu ternama termasuk beberapa pemimpin pembangkang akan ditahan pihak berkuasa.

Raja Petra turut menyenaraikan tiga bekas perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin serta Datuk Seri Ismail Sabri juga akan ditangkap.

Individu lain adalah bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Pemimpin pembangkang yang dijangka ditahan adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Ketua Pembangkang), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan dokumen daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan kempen Promosi Keluarga Malaysia oleh pentadbiran sebelum ini.

Isnin lalu, SPRM dilaporkan akan memanggil bekas perdana menteri dan dua pembantunya sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas tiga kes berasingan membabitkan dakwaan salah guna dana.

Siasatan itu bagi mengenal pasti sumber kekayaan diperoleh isteri serta anak kepada pemimpin berkenaan membabitkan aktiviti syarikat petroleum dan perbelanjaan berkaitan pengiklanan.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli Parlimen dari sebuah negeri di Pantai Timur dan pembantunya akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast