dua warga asing ditangkap selepas melanggar anggota polis di SJR dalam kejadian di Petaling Jaya malam semalam.

KUALA LUMPUR – Dua warga asing yang merempuh anggota polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di susur keluar Damansara Jaya ke Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya, dekat sini semalam diberkas polis.

Mereka yang dikejar sepasukan polis sejauh dua kilometer ditahan setelah kereta Myvi yang dinaiki terbabas di Seksyen 17/50, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 9.06 malam itu, seorang anggota polis yang terlibat dalam SJR itu dilanggar suspek menyebabkan beliau mengalami keretakan tulang di tapak tangan kanan.

Anggota polis yang bertugas dalam SJR mengalami kecederaan retak tulang tapak tangan kanan dalam kejadian semalam

Tambah beliau, siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada rampasan wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah RM 9,839.85 dan beberapa peralatan pecah rumah antaranya gerudi tangan, tukul, gunting, pemutar skru dan gergaji.

“Kedua-dua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan disahkan negatif sementara semakan juga mendapati mereka tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 8 Januari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki peralatan pecah rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222. – MalaysiaGazette