Home Nasional Penunggang motosikal rempuh kerusi meja kedai selepas lari pemeriksaan polis

Penunggang motosikal rempuh kerusi meja kedai selepas lari pemeriksaan polis

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal nekad merempuh kerusi dan meja di hadapan kedai makan di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang sekeoas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Kejadian awal pagi Isnin itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu berlaku pada jam 3 pagi ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menjalankan Operasi Ambang Tahun Baharu 2024.

Dalam operasi berkenaan, anggota polis ditempatkan di persimpangan tertentu bagi tujuan penutupan jalan supaya kumpulan samseng jalanan tidak dapat meloloskan diri.

Semasa serbuan dijalankan terdapat samseng jalanan bersaing semasa sendiri untuk menguji kelajuan motosikal masing-masing, dan kemudiannya cuba melarikan diri daripada ditahan.

“Ketika itu sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang laju dan berbahaya oleh seorang lelaki cuba dihalang, namun dia berjaya meloloskan diri.

“Penunggang tersebut kemudian merempuh kerusi dan meja pelanggan yang berada di hadapan sebuah restoran,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan kejadian itu, polis membuat laporan untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette