PUTRAJAYA – Tindakan tegas perlu diambil ke atas syarikat dan ejen pekerjaan yang sudah memperoleh kuota tetapi gagal menempatkan pekerja asing itu di negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara yang tindakan yang boleh dikenakan termasuk kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja asing yang gagal ditempatkan.

Beliau turut mencadangkan perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang mendapat maklum balas positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu isu itu diselesaikan segera.

Ini kerana sektor agrikomoditi negara kini berdepan kesukaran mendapat pekerja asing di mana pekerja tersebut boleh diserapkan ke sektor itu.

“Baru-baru ini dilaporkan di Pengerang, Johor ada 2,500 pekerja asing ditipu ejen pekerjaan.

“Justeru, saya cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu patutnya dikompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

“Baru mereka tak berani nak bawa pekerja. Isu ini penting buat Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi mengisi kekosongan pekerja asing di sektor komoditi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPK di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dianggarkan 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan mereka kini berada di Pengerang, Johor.

Isu itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan telah dikemukakan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Mengulas lanjut, Johari menegaskan, sekiranya isu tersebut tidak ditangani segera, ia boleh memberi imej tidak baik kepada negara padahal industri amat memerlukan pekerja asing untuk merancakkan ekonomi.

Beliau berkata, kerajaan perlu masuk campur dalam isu itu bagi membolehkan pekerja asing yang ditipu itu dapat ditempatkan di ladang-ladang yang memerlukan pekerja.

“Kalau diabawa datang pekerja, tunggu siapa datang baru nak supply (bekal), ini bermakna dia dah buat benda ini satu perniagaan,” katanya.

Johari turut memberitahu, ketika kekurangan pekerja asing terutama dalam sektor getah amat kritikal memandangkan kira-kira 420,000 hektar ladang getah memerlukan antara 70,000 hingga 80,000 pekerja. – MalaysiaGazette