sebar gambar bogel rakan suspek punca mangsa dibunuh dan ditanam dalam kejadian di Sungai Choh Rawang 23 Disember lalu.

GOMBAK – Rasa tidak puas hati dengan perbuatan penyebaran gambar bogel rakan menjadi punca seorang lelaki dibunuh yang mayatnya ditemui ditanam di kawasan belukar di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Choh, Rawang pada bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis telah menahan lapan suspek terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 46 tahun.

Kesemua suspek yang ditahan itu berjaya direman selama 13 hari sejak 24 Disember lalu hingga Jumaat ini (esok) bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.

“Kertas siasatan dalam kes ini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan polis telahpun mendapat arahan tuduh ke atas enam suspek di Mahkamah Majistret Selayang pagi hari ini.

“Dua suspek dituduh di bawah Seksyen 201 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan iaitu kesalahan melupuskan barang bukti,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Noor Ariffin lagi, lima suspek dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu kesalahan bunuh yang membawa hukuman mati.

Manakala dua suspek lain dalam kes ini telah dibebaskan oleh polis dan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah.

Kesemua suspek dituduh di Mahkamah Selayang pada hari ini (Khamis).

“Siasatan polis mendapati motif pembunuhan itu disebabkan suspek tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakannya oleh mangsa,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya, kira-kira jam 11 pagi dalam kejadian pada 23 Disember lalu di Sungai Chong, Rawang.

Mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan ditanam di belakang rumah oleh suspek sejurus selepas insiden tersebut. – MalaysiaGazette