Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang berharap Pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dengan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Perak berjalan mengikut perancangan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sedia maklum projek berkenaan akan mengambil masa antara tempoh enam hingga ke 10 tahun lagi.

“Namun apa yang saya maksudkan ialah kalau tahun ini kita boleh mencapai persetujuan daripada segi pelaksanaan pembiayaan, menandatangani perjanjian perjanjian persefahaman (MoU) ia satu permulaan yang baik.

“Kalau kita boleh capai persetujuan dalam aspek ini, ia sudah dikira sebagai satu kejayaan sebelum disusuli dengan pelbagai proses teknikal, mereka bentuk dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu Kon Yeow dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo merasmikan inisiatif transformatif, Penang IX di Jen Hotel di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dijangka tidak akan dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Katanya, ia susulan banyak prosedur yang perlu dilakukan termasuk mendapatkan peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian. – MalaysiaGazette