GEORGE TOWN – Semua sekolah di Pulau Pinang akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan gangguan bekalan air berjadual di negeri ini selama empat hari bermula 10 Januari ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani pembelajaran seperti biasa di sekolah susulan mereka mempunyai peperiksaan.
“Kita telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan PdPR dalam tempoh tersebut (gangguan bekalan air) namun ia tidak melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Pra-Universiti.
“Surat makluman berhubung pembelajaran menerusi PdPR ini akan diedarkan kepada pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya telah melakukan persediaan dalam menghadapi gangguan bekalan air berjadual itu termasuk mendapatkan bantuan bekalan air dari beberapa negeri.
“Kita telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan secara prinsip SPAN setuju untuk membantu kita mendapatkan bekalan air dari negeri lain namun jumlah lori tangki terlibat belum dimuktamadkan.
“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memuktamadkan lokasi untuk menempatkan tangki air dan fokus kita kepada kawasan kritikal seperti Balik Pulau, Seberang Perai Selatan dan Sungai Ara.
“Tangki berkapasiti 25,000 liter akan ditempatkan secara statik manakala tangki kecil akan digerakkan ke kawasan berlainan ikut keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jen Hotel, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Zairil berkata, pembekalan air semula kepada pengguna akan dilakukan sejurus kerja penggantian dua injap berdiameter 1200 milimeter (mm) pada saluran paip air terawat utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua selesai.
“Kita jangka dalam situasi ini daerah Seberang Perai Utara akan menerima bekalan air memandangkan kawasan itu berhampiran dengan loji rawatan dan diikuti daerah Seberang Perai Tengah dan lain-lain,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Gangguan bekalan air empat hari di P. Pinang bermula 10 Januari ini
Penduduk bimbang PBAPP gagal tunai janji
Media sebelum ini melaporkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini susulan kerja pembaikan paip segera di LRA Sungai Dua.
Susulan itu, Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama PBAPP menyediakan beberapa unit tangki air jumbo di setiap daerah, sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air tersebut. – MalaysiaGazette