musang king
Aireroshairi Roslan

KUANTAN – Penjenamaan langkah demi langkah bermula sejak satu dekad lalu telah menjadi trend politik Malaysia bagi menggulingkan kerajaan sedia ada, kata Ketua Penerangan Pas Negeri Pahang, Aireroshairi Roslan.

Menurutnya Langkah Kajang, Langkah Sheraton, Langkah Dubai merupakan nama-nama yang dijenamakan untuk meruntuhkan pemerintahan sedia ada itu bermula daripada zaman ’PM paling lama menunggu’ telah menyumbang kepada ketidakstabilan politik dalam negara.

“Yang nyata, semua ini bermula dari bekas PM (Perdana Menteri) ‘in waiting‘ yang paling lama dalam sejarah hari ini akhirnya berjaya menjadi PM yang seterusnya. Entah berapa lama kerajaan ini akan bertahan.

“Tanpa angin dan ribut, tiba-tiba muncul nama Langkah Dubai, yang kemudiannya disakat atau dicuit oleh panglima perang Pas, YB Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sehingga isu ini menjadi semakin panas,” katanya.

Yang pasti katanya, kerajaan yang gabungan parti kerajaan mempunyai kepentingan berbeza sememangnya tidak akan bertahan lama sekali gus memberi kesan kepada rakyat jelata.

Ini kerana, rakyat juga berada dalam kelemasan dan semakin hari, semakin hilang kemampuan untuk bertahan dengan suasana sosio ekonomi dan politik yang terumbang- ambing.

“Kegagalan dalam mengurus negara ini nampak jelas pada pengurusan barangan keperluan asas yang tidak stabil.

“Harga barang meningkat, kekurangan beras, ayam dan telur di pasaran, masalah hubungan di antara kaum yang sentiasa panas, merupakan indikator kelemahan PH -BN dalam pemerintahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aireroshairi mendakwa, pemerintahan Kerajaan Perpaduan yang dijangka jatuh bukan kerana ‘ditebuk’ tetapi sebaliknya keserasian yang semakin hari semakin retak dan menanti belah.

Jelasnya jika pemerintahan Kerajaan Persekutuan jatuh maka tentunya Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) di negeri ini bakal tumbang selain memperlihatkan DAP sedang memperkudakan UMNO untuk mencapai matlamat politik.

“Cuma saya menjangkakan kalau Malaysia jatuh, Pahang juga akan jatuh. Kalau perkara itu berlaku di Pahang, kami sudah kenal pasti dan hanya tinggal untuk muktamadkan sahaja lima atau tujuh ADUN dari UMNO yang telah bersedia untuk bersama membentuk Kerajaan Pahang.

“UMNO sedang terkial-kial dalam mempertahankan kewujudan mereka dalam arena politik negara menyebabkan mereka perlu bersama DAP.

“PKR (Parti Keadilan Rakyat) menjadi alat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk memegang tampuk kuasa. Keadaan politik Malaysia dalam keadaan serba tak kena,” dakwanya lagi. MalaysiaGazette