Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan memandangkan jangkaan pengeluaran yang rendah serta permintaan eksport yang semakin meningkat, kata peniaga minyak sawit David Ng.

“Pada masa ini kami berada dalam musim pengeluaran yang lebih rendah dan banjir baru-baru ini di kawasan penanaman utama tertentu turut menjejaskan pengeluaran. China mungkin meneruskan pembelian MSM menjelang Tahun Baharu bulan depan.

“Oleh itu, kami menjangkakan harga bergerak antara RM3,600 dan RM3,820 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Ng berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia, yang memberikan unjuran bekalan dan permintaan sebenar Disember 2023, akan mengeluarkan laporan pada 10 Januari, serta anggaran eksport adalah antara data laporan utama yang dijangkakan untuk minggu depan.

Minggu ini niaga hadapan MSM didagangkan bercampur-campur, dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago, prestasi eksport dan paras simpanan di negara ini.

Pada asas mingguan, kontrak Januari 2024 meningkat RM28 kepada RM3,690 satu tan, tetapi Februari 2024 turun RM20 kepada RM3,675 satu tan, Mac 2024 susut RM39 kepada RM3,682 satu tan, April 2024 merosot RM47 kepada RM3,671 satu tan, Mei 2024 susut RM59 kepada RM3,649 satu tan, dan Jun 2024 turun RM62 kepada RM3,615 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 233,557 lot daripada 159,990 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 212,004 kontrak daripada 214,074 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan kekal tidak berubah pada RM3,700 satu tan pada hari Jumaat dan seminggu sebelumnya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast