Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 02 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Masih ada rakyat Malaysia yang masih belum memahami fungsi sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang dibangunkan oleh kerajaan.

Malah, tidak kurang juga yang ragu-ragu untuk mendafatr kerana bimbang akan keselamatan data peribadi masing-masing.

Disebabkan itu, rata-rata individu yang ditemui MalaysiaGazette mengakui belum mendaftar PADU kerana mahu  mengetahui lebih lanjut fungsi dan kebaikannya.

Seorang pekerja, Siti Zuraidah, 48, berkata, usaha untuk menerangkan kepada rakyat tentang PADU perlu diperhebatkan, khususnya di luar bandar.

Usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan semua rakyat daripada pelbagai latar belakang dapat memahami tentang keperluan untuk mendaftar PADU.

Siti Zuraidah

“Saya sendiri tidak jelas mengenai PADU, apa fungsinya, apa kebaikannya, kenapa perlu mendaftar, jadi kerajaan perlu memberi penjelasan tentang PADU.

“Apabila ada yang tak faham (fungsi PADU), saya khuatir ramai lagi terutama penduduk di luar bandar akan ketinggalan mengenai perkara ini,”  katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, Faiz Marzuki, 33, mahu kerajaan menangani naratif negatif mengenai PADU yang menjadi pertikaian pelbagai pihak.

Pekerja swasta ini, langkah itu perlu supaya rakyat memhami fungsi sebenar PADU dan kebaikannya.

Faiz Marzuki

Dalam masa yang sama, segala kekurangan sistem PADU perlu segera ditambah baik.

“Ada pihak yang curiga tentang pengurusan PADU, terutama tentang keselamatannya. Mungkin kerajaan perlu meneliti kebimbangan rakyat dan buat tambah baik.

“Kerajaan boleh betulkan kembali naratif negatif tentang PADU. Apa yang kerajaan perlu buat adalah jelaskan apa yang boleh dimanfaatkan dengan mendaftar PADU.

“Saya juga berharap kerajaan tidak melatah apabila ada pihak mengkritik PADU tapi terima kritikan secara positif,” ujarnya.

Faiz, secara peribadi turut melahirkan bimbang dengan isu ketirisan dan kebocoran maklumat peribadi di dalam sistem PADU kerana ahli keluarganya sebelum ini pernah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Ahli keluarga saya pernah kena scam jadi adalah perasaan takut wujud untuk isi maklumat peribadi dalam sistem-sistem,” tambahnya.

Fiona

Fiona, 51 juga mempunyai pendapat sama berhubung keselamatan data peribadi dalam sistem PADU.

“Saya pun tidak pernah masuk lagi dalam sistem itu, jadi saya tidak tahu apa maklumat yang diperlukan.

“Cuma buat masa ini kerajaan perlu beri penjelasan lagi kepada rakyat (tentang PADU) itu penting dan tunjukkan cara pengisian langkah demi langkah sebab ada juga yang tidak tahu kan,” katanya.

Bagi, Wan Fauzi Ali, 51 pula, adalah normal sekiranya sistem yang baru diperkenalkan mempunyai kelemahan.

Namun ujarnya, kerajaan perlu terbuka untuk menerima kritikan dan mengatasi isu berbangkit dengan tindakan pantas penambahbaikan sistem yang sedang digunakan.

Wan Fauzi Ali

“Ketakutan, kekhuatiran berkenaan keselamatan maklumat dalam PADU pada saya tidak lebih kepada politik sahaja. Tidak ada masalah sebenarnya jika pelaksanaan sistem itu kebaikan.

“Biasalah benda baharu mesti ada kekurangan, jadi kekurangan itu perlu ditambah baik. Ambil masa sedikit. Tidak ada masalah, apatah lagi jika sistem ini mahu digunakan untuk pelaksanaan subsidi bersasar,” ujarnya.

PADU yang baru dilancarkan Isnin yang lalu berfungsi untuk memastikan rakyat menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan secara bersasar daripada pelbagai inisiatif kerajaan.- MalaysiaGazette