Rosli Abdul Jaabar

KUANTAN – Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dari Pas akan terus menabur khidmat kepada rakyat meski pun tidak menerima sekarang peruntukan oleh kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar mengharapkan semua ADUN pembangkang di negeri ini terus memberikan perkhidmatan dengan kemampuan yang ada.

“Tiada peruntukan namun 15 ADUN Perikatan Nasional jerih menabur khidmat. Alhamdulillah, PRU-15 telah setahun berlalu telah melakar sejarah perjuangan Pas Pahang dengan menyaksikan 15 ADUN Pas menang dan dua rakan dari Bersatu turut menang menjadikan jumlah kami di dalam PN seramai 17 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya jumlah kemenangan kerusi itu  menjadikan buat kali pertama Barisan Nasional (BN) tidak dapat membentuk kerajaan sendiri dan memaksa mereka bergabung dengan DAP atau PKR untuk menerajui kerajaan negeri.

Menurut Rosli, beliau sangat memahami jerih payahnya untuk berkhidmat dalam keadaan tiada peruntukan.

“Sebagai Pesuruhjaya Pas, antara tugasan saya ialah sentiasa memantau gerak kerja yang dilakukan oleh rakan-rakan ADUN yang lain terutama bagi mereka yang baru pertama kali menang.

“Saya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (ADUN Cheka merangkap Timbalan Presiden Pas) dan ADUN Berserah (Andasura Rabu) terlebih dahulu merasakan kesusahan ini sentiasa memberikan semangat kepada semua ADUN untuk sentiasa berusaha memerah keringat dan akal bagi mempastikan khidmat tetap ditaburkan walaupun tanpa peruntukan yang sewajarnya.

“Namun alhamdulillah saya menyaksikan rakan-rakan ADUN tetap menabur bakti kepada masyarakat, mencurah keringat, berkongsi duka bersama masyarakat dengan apa jua kemampuan yang dimiliki,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Mengulas lanjut, menurut Rosli, semua ADUN Pas sentiasa mendampingi masyarakat, membantu tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik di negeri ini.

“Inilah antara sebab Pas semakin mendapat sokongan masyarakat walaupun mereka tahu bahawa ADUN kami tidak mendapat peruntukan dan tidak dapat membantu mereka sepenuhnya.

“Tahniah kepada semua ADUN yang kian kental dengan keperitan ini. Insya-Allah kita akan terus bekerja, merempuh segala cabaran di hadapan, sederap kita menuju matlamat PRU-16 iaitu Pas teraju Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette