PEKAN- Seramai 12 keluarga asnaf di Kampung Temai Hulu di sini yang menerima sumbangan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah pada Oktober tahun lalu bersyukur kerana mereka kini tidak lagi menjadi mangsa banjir.
Ia berbeza semasa mereka menetap di rumah lama di PPRT Desa Al-Ayubi di sini yang seringkali menjadi mangsa bencana alam berkenaan.
Mereka juga mengucapkan rasa terima kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengurniakan perumahan itu.
Menurut Ketua Kampung Temai Hulu, Ali Omar, setiap tahun beliau bersama penduduk kampung terpaksa memindahkan 12 keluarga asnaf ke Pusat Pemindahan Banjir Sementara (PPS) berhampiran namun pada musim tengkujuh kali ini perkara itu tidak lagi dilakukan.
“Mereka amat berterima kasih kerana mendapat pemimpin diraja yang mengambil berat akan nasib menimpa mereka sejak lebih 20 tahun lalu yang terpaksa menghadapi musibah banjir saban tahun.
“Ini kerana kawasan rumah baharu, Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah tidak dinaiki air pada musim tengkujuh kali ini meskipun beberapa kawasan sekitar Kampung Temai telah dilanda banjir.
“Malah rumah batu bertiang tiga bilik itu juga dilihat cukup selesa untuk didiami 12 keluarga asnaf ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut meluahkan rasa syukur dan menjunjung kasih ke atas Seri Paduka atas keprihatinan tinggi baginda membela nasib penduduk asnaf di kampungnya.
Untuk rekod, sebanyak RM12.175 juta diperuntukan oleh kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dibiayai Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE untuk membina sebanyak 123 buah rumah iaitu Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah melibatkan tujuh daerah di Pahang.
Ia melibatkan penduduk yang terjejas akibat banjir termasuk 12 buah untuk golongan asnaf Kampung Temai Hulu. – MalaysiaGazette