KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara menganjurkan Pameran Hanya Satu: ‘Niyat’, bermula 25 Disember 2023 oleh Dhan Illiani, seorang pengkarya muda aktif dari kolektif seni tempatan KolmeGlu yang semakin mekar dalam industri seni negara.

‘Niyat’ merupakan pameran yang keenam dalam Pameran Hanya Satu.

Pameran Hanya Satu merupakan ruangan berkarya dan pelantar provokasi idea sekali gus memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada pelukis kontemporari muda.

‘Niyat’ adalah frasa daripada ‘Niat’ dalam Bahasa Melayu dan ‘Niyyah’ dalam bahasa Arab, yang mana kedua-duanya mempunyai persamaan makna tersurat dan tersirat.

Perkataan ini juga merupakan nama timangan pengkarya Dhan Illiani.

Seniman ini bukan hanya seorang seniman multidisiplin, malah seorang pemain hoki ais kebangsaan yang sedang bersiap sedia untuk ke Sukan SEA pada tahun 2025.

Pameran ini juga akan menampilkan program sokongan yang menggabungkan seni dan sukan dalam sebuah persembahan seni bertajuk “Niyat Hoki”.

Persembahan ini memperlihatkan rakan sepasukannya dalam hoki, menyorot disiplin dan proses bersama di antara kedua-dua bentuk ekspresi.

Walaupun kelihatan bertentangan, seni dan sukan memiliki hubungan yang nyata dan tidak nyata yang tidak pernah terlihat oleh masyarakat umum.

Inspirasi persembahan seni ini dipetik daripada pelbagai reaksi, tanggapan dan pandangan masyarakat mengenai sukan yang melibatkan wanita-wanita muda.

Orang ramai dijemput untuk merasai dunia unik ‘Niyat’ secara percuma di Balai Seni Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast