Wan Muhammad Azri Wan Deris tiba di Mahkamah Sesyen Jenayah (Cyber) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah (Cyber) di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat terhadap kerajaan.

Wan Muhammad Azri membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, N. Priscilla Hemamalini selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Menurut pertuduhan, Wan Muhammad Azri telah menuduh Kerajaan Malaysia hari ini pro  Israel.

Malah beliau turut berkata, apa yang berlaku pada hari ini membuktikan rakyat sedang dalam bahaya kerana kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri pro-Barat.

Wan Muhammad Azri telah memuat naik tuduhannya itu di laman Facebook Halid Hamidi (Halid Mat Kool).

Jika disabitkan kesalahan, Wan Muhammad Azri boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun.

Timbalaan Pendakwaraya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam kemudiannya meminta mahkamah supaya mengenakan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri meminta wang jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan tertuduh mempunyai keluarga dan hanya bekerja sebagai pengendali laman sosial.

Katanya, jumlah wang jaminan sebanyak RM10,000 itu juga merupakan jumlah dua kali ganda melebihi maksimum kes di bawah Akta Hasutan, yang mana akta itu hanya meletakkan wang jaminan tidak melebihi RM5,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 tanpa syarat dengan seorang penjamin dan sebutan semula bagi kes tersebut pada 5 Februari depan.

Terdahulu, Wan Muhammad Azri tiba di Mahkamah Sesyen di pukul 9 pagi dengan ditemani keluarga dan barisan peguamnya.

Beliau yang memakai baju kemeja berkotak turut ditemani aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Muhammad Azri disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung perkara tersebut.

Papagomo disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast