Ahmad Zahid Hamidi

KOTA BELUD – Rakan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu berkata, parti itu sedia berkolaborasi dengan mana-mana parti asalkan mampu bermuafakat dalam menjaga kesejahteraan rakyat Sabah dan negara ini secara keseluruhannya.

“Kita punya pendirian politik ini pragmatik dan jalinan kerjasama (pada PRN Sabah) boleh dilakukan dengan mana-mana parti politik, yang penting kerajaan ditubuhkan mendapat dukungan majoriti rakyat.

“Dalam perkara ini, kepentingan utama (adalah untuk) kukuhkan kerajaan Perpaduan, sama ada di peringkat nasional atau negeri, semangat itu harus ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian.

Sementara itu, Ahmad Zahid menjelaskan tiada pergolakan politik berlaku di Sabah dan keberadaan beliau di negeri ini adalah bagi menghadiri majlis hari ini.

Menurutnya pertemuan dengan pemimpin politik dan rakan pemimpin lain di negeri ini malam tadi sebaliknya bertujuan mengemaskini kerja-kerja terutamanya melibatkan penyusunan jentera BN dan UMNO dalam mendepani PRN Sabah nanti.

“Saya tolak dakwaan terdapat kemelut politik di Sabah… kita bertemu bersiap siaga, khususnya PRN Sabah walaupun berlaku selewat-lewatnya (tamat tempoh penggal) akhir tahun depan, tidak salah kita bersiap-siaga mulai sekarang.

“Jangan ada mana-mana pihak pula buat analisis atau apa-apa spekulasi sesuatu sedang berlaku di Sabah ini. Kita tumpu kerja kita dulu,” katanya.

Beliau berkata dalam mendepani PRN Sabah juga, BN dan UMNO Sabah mempunyai autonomi sendiri untuk memutuskan perkara-perkara, antaranya calon mewakili parti serta calon yang disokong sebagai Ketua Menteri, yang mana perkara itu perlu dimaklumkan kepada Pengerusi BN. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Zahid Hamidi gagal merancang “teras” untuk PRN SABAH. Zahid perlu elakkan amalan BIDAN TERJUN. Serah pada pimpinan lain yang lebih talent dan diyakini ahli.

Comments are closed.