Mohd. Naim Mokhtar

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya diwujudkan pusat pelacuran bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing adalah bertentangan dengan dengan ajaran Islam dan maqasid al-Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, cadangan itu juga bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

“Berdasarkan kedudukan ini, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan. Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain,” tegas Mohd. Naim.

Katanya, pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559].

Pelacuran juga adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, pelakon dan usahawan Datuk Rosyam Nor berkata, pusat pelacuran perlu di negara ini bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing.

Rosyam yang berkata demikian menerusi podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel menyifatkan ia perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri masing-masing di negara mereka.

Menurut Rosyam, kekangan itu akan menjurus kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan sebagainya.

“Dia tengok anak bini kita, anak dara kita lalu. Silap-silap, dia rogol anak dara kita. Dia boleh jadi sampai ke tahap itu sebab benda inikan bermain dengan (fikiran).

“Mereka pun pun duduk di sini, malam-malam tak ada kerja, tengok benda sama juga. Tengok porno juga. Jadi, bila ada rumah pelacuran itu, sekurang-kurangnya mereka pergi bayar di sana,” katanya.

Bagaimanapun, Rosyam menegaskan itu hanya pandangan peribadinya dan meminta penonton untuk menilai sendiri.- MalaysiaGazette