Cadangan penubuhan bagi melahirkan golongan bumiputera yang pakar dalam bidang sains dan teknologi. - Gambar hiasan

KITA acap kali mendengar ungkapan Melayu malas yang diucapkan oleh ramai orang sebagai satu stereotaip kepada bangsa Melayu. Bukan sahaja ungkapan itu menjadi “peluru” bangsa lain ketika ingin mencemuh, bahkan bekas Perdana Menteri kita adalah pelopor kepada ungkapan itu.

Baru-baru ini gempar pula dengan kenyataan khabarnya ibu bapa golongan berada menghantar anak mereka masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana mahu anak mereka belajar hidup susah. Pandangan ini telah menyebabkan “perebutan” tempat antara anak golongan B40 dengan anak golongan kaya raya yang akhirnya menyebabkan anak golongan B40 ini keciciran kerana perlumbaan ini sama sekali perlumbaan yang tidak adil.

MRSM adalah tempat yang ditubuhkan bagi membantu anak-anak Melayu cemerlang dari B40 untuk mendapatkan pelajaran yang lebih baik dibawah kawalan seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sememangnya ditubuhkan khusus untuk membantu orang Melayu.

Akan tetapi ada orang Melayu yang kaya sanggup menipu dan mencuri tempat ini daripada anak-anak melayu miskin demi kepentingan mereka.

Pemimpin politik terutamanya yang berpegang pada idealogi nasionalisme sering kali melaungkan ungkapan “Melayu Bangkit” dan sering berhujan dengan kata-kata semangat untuk mengajak golongan melayu bangkit seakan-akan melayu di negara ini ditindas teruk. Idealogi “Melayu” dan “Islam” ini adalah idea yang paling laku dijual oleh politikus untuk mendapatkan sokongan dari orang ramai.

Malaysia majoritinya terdiri dari bangsa melayu. Agama rasmi negara ini adalah Islam yang dianuti oleh orang Melayu. Raja-raja yang bersemayam di atas takhta juga Melayu. Perdana Menteri kita juga Melayu. Di dalam Perlembagaan Persekutuan termaktub hak-hak keistimewaan Melayu dan martabat kedudukan raja-raja Melayu serta agama Islam yang tidak boleh disanggah lagi.

Pendek kata kiri dan kanan, hak dan keistimewaan melayu ini telah dipasakkan ke bumi Malaysia ini. Namun mengapa masih ada yang berkata-kata seolah-olah Melayu ini ditindas?

1. Melayu pemalas?

Mari kita kembali ke kenyataan bekas Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan Melayu itu bangsa yang malas. Ramai yang tersinggung bahkan ramai pula yang menyerang beliau dengan mengungkit kisah anak pinak beliau yang kaya raya.

Di Malaysia ramai Melayu yang berstatus elitis. Saya selalu tertanya-tanya adakah mereka ini Melayu dan mengaku mereka Melayu? Sebab ada antara mereka tidak pandai berbahasa Melayu. Status elitis ada yang diwarisi dan ada juga yang hadir kerana hasil usaha titik peluh ketua keluarga.

Yang mewarisi status elitis itu saya tak mahu bahaskan, tapi yang menjadi elitis kerana kerja keras ini, adakah masih tidak cukup menggambarkan bahawa Melayu itu tidak malas? Berapa ramai usahawan jutawan kosmetik khusunya dari sebuah negeri di Pantai Timur berjaya menjadi elitis hasil dari kerja keras mereka, ya walaupun menjual kosmetik timbang kilo namun ia pasti bermula dari satu titik yang bawah, bukan?

Berapa ramai anak muda kota yang bekerja 2-3 kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga di ibukota ini? Mereka bukan elitis tapi adakah itu tidak cukup menghapuskan stereotaip melayu pemalas?

2. Melayu bangkit?

Sekali lagi persoalan yang selalu bermain diminda saya ialah adakah melayu ini bangsa yang tertindas? Jika benar apakah buktinya? Adakah dengan meruntuhkan rumah di kawasan-kawasan setinggan itu bukti melayu ditindas? Atau ditipu oleh ejen skim cepat kaya dan scammer bukti melayu ditindas?

Ungkapan melayu ditindas ini sering meletakkan sang penguasa di dalam dilema – samada ingin menjalankan amanah yang telah diberi atau empati dengan nasib bangsa sendiri.

Cuba kita lihat kalau ada gerai-gerai tepi jalan yang disita oleh PBT, pasti akan ada suara-suara kecil “inilah dia kalau Melayu nak berniaga mesti kena kacau”. Tapi itulah, Melayu berniaga tanpa lesen. Melayu berniaga di kawasan tidak boleh berniaga.

Kembali kita ke kisah MRSM tadi, Melayu juga yang mencuri hak Melayu lain. Jadi adalah Melayu ditindas. Ya ditindas. Tapi oleh bangsa sendiri dan keegoaan sendiri bagi saya.

Melayu di Malaysia ini datangnya dari pelbagai susur galur. Ada yang dari Sulawesi. Ada yang dari Palembang dan Tanah Jawa. Ada yang dari Riau. Ada yang dari Patani. Ada juga dari Champa. Keturunan kita yang terdahulu hadir sebagai peneroka di tanah ini. Tanah ini bukan tidak bertuan. Namun tuan tanah ini, pada zaman kini seperti melukut di tepian gantang.

Berapa banyak tanah masyarakat orang asli yang masih gagal diwartakan bahkan saban hari ukurannya semakin mengecil akibat kerakusan pihak yang taksub dengan pembangunan. Berapa banyak hutan dan sumber asli alam yang menjadi nadi masyarakat orang asli musnah akibat ketamakan kita?

Jika ingin kita bahaskan ditindas, ya apa yang dialami oleh masyarakat orang asli ini adalah penindasan.

3. Perjuangan Melayu dan Islam di Malaysia.

Pada zaman dahulu saya akui bahawa pejuangan-pejuangan perwira kita demi menegakkan hak bangsa dan memelihara maruah agama adalah perjuangan yang suci yang membawa kita kini ke sebuah negara yang merdeka.

Namun kini, dalam suasana yang muhibah, dengan seperti yang saya katakan tadi terpasaknya hak-hak istimewa orang Melayu dan agama Islam melalui Perlembagaan Persekutuan di tanah ini, apakah lagi yang perlu diperjuangkan oleh kita, bangsa Melayu moden?

Saya rasa tidak keterlaluan laungan perjuangan Melayu dan agama Islam ini hanya retorik dan sembang orang lelaki Melayu Alpha sahaja, yang merasa hebat dan gagah seperti jalak lenteng tika berdebat dan berbahas tapi akhirnya meletakkan tugas mendidik anak-anak, pewaris generasi mereka di bahu kaum hawa yang tinggal di rumah.

Berapa ramai lelaki Melayu jalak lenteng ini yang setiap malam solat berjemaah bersama keluarga dan duduk mengajar anak-anak mengenali alif ba ta? Jauh sekali mengajar anak-anak membaca al Quran.

Bahkan saya jamin ada di antara lelaki ini yang sebenarnya tidak pasti dan tidak peka dengan perkembangan anak-anak mereka. Mereka seakan-akan lupa anak-anak ini adalah anak bangsa juga. Mendidik anak-anak ini juga adalah satu perjuangan untuk memastikan kesaktian dan kecemerlangan bangsa Melayu dan kesucian Islam terjaga.

4. Survival Melayu.

Melayu walaupun adalah majoriti di dalam negara ini, dengan dakyah-dakyah seperti yang saya katakan tadi secara halusnya menampakkan seolah-olah melayu ini bangsanya lemah. Sudahlah Melayu di dalam negara ini peroleh pelbagai keistimewaan sejak lahir sehingga tamat usia, masih lagi kita mahu menjerit-jerit seperti kitalah yang tertindas?

Adakah bangsa kita ini tidak mampu bersaing dengan bangsa lain? Bukankah kita bangsa nusantara terhebat?

Oleh yang demikian saya rasa sudahlah kita menilai seseorang itu melalui bangsa dan sudah tiba kita menilai mereka sebagai satu insan. Adakah insan ini mampu bersaing bersama-sama insan lain di dalam negara ini? Kerana apabila kita tetap menilai diri kita melalui bangsa maka sentiasalah kita akan terperuk dalam kepompong stereotaip Melayu seperti yang saya bahaskan tadi.

Saya bukan ahli pengkaji bangsa apa lagi ahli pemikir, namun apa yang saya lontarkan ini adalah melalui pengamatan saya. Dunia semakin maju dan moden. Apabila kita terikat dengan stereotaip begini, maka ia memberi peluang kepada orang lain untuk mempergunakan kita dan mengambil kesempatan ke atas kita.

Itulah yang terjadi di dalam negara ini apabila Melayu dan Islam menjadi bahan tunggangan politikus untuk mendapatkan kuasa. Jika kita tidak ada sedikit perasaan bahawasanya kita ini bangsa yang tercorot dan tercicir, maka kita pstinya boleh bersifat rasional dan boleh melangkah maju lagi menjadi bangsa yang gagah.

Cuba kita lihat bangsa cina dan india di dalam negara ini. Berpijaknya mereka di tanah ini tanpa sebarang keistimewaan namun tetap melangkah maju bahkan kemajuan mereka dicemburui pula oleh kita, bangsa Melayu.

Melayu boleh pergi jauh jika kita ketepikan sentimen retorik ini. Melayu juga boleh maju dah gagah di mata dunia jika kita berhenti mencuri hak sesama kita dan bersaing dengan sihat dengan seteru yang setara.

Tak kan Melayu hilang di dunia. Begitu yakinnya Hang Tuah pada bangsa dia sendiri. Namun adakah sekelumit rasa bangga di dalam dirinya bila dia tahu bangsa melayu kini bersikap manja dan retorik?

Noor Suhana Ishak